KUALA LUMPUR: Pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat cepat bertindak menangani setiap krisis, terutama kesan pandemik COVID-19 yang begitu ketara.
Tindakan itu termasuk memberikan bantuan munasabah dan seimbang kepada seluruh masyarakat yang terkesan dari segi ekonomi akibat wabak berkenaan.
Kemuncak kepada usaha itu ialah pada 21 Februari lalu apabila kelompok pertama vaksin jenis Pfizer-BioNTech dan semalam dengan ketibaan 200 liter vaksin Sinovac dari China.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata sepanjang setahun ini, kerajaan bukan saja mengumumkan pelbagai inisiatif tetapi proaktif serta terus membuat pemantauan bagi memastikan bantuan itu sampai kepada golongan sasar.
"Sepanjang hampir setahun menerajui kepemimpinan, kerajaan bukan saja segera memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi tetapi selari membuat pemantauan melalui laporan mingguan oleh unit laksana di bawah Kementerian Kewangan.
"Sebanyak lima pakej rangsangan dilancarkan tahun lalu bernilai RM305 bilion dan tidak termasuk peruntukan terbesar dalam sejarah yang diumumkan di bawah Belanjawan 2021 iaitu RM322.5 bilion.
"Ini sudah cukup membuktikan kerajaan bersungguh-sungguh membela nasib rakyat dan perniagaan dan dapat disaksikan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu, tidak sampai dua minggu selepas itu Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dilancarkan dan disusuli pakej lain selepasnya.
"Apabila PKP kali kedua dilaksanakan pada 13 Januari lalu, Pakej
Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pula
dilancarkan, tidak sampai seminggu sekatan perjalanan itu bermula,"katanya.
Beliau berkata, dengan pakej rangsangan itu, impak kemelesetan ekonomi, dapat diminimumkan dan perkembangan keseluruhan 2020, dianggap memuaskan berikutan ramai menjangkakan keadaan lebih teruk daripada itu.
Kira-kira 4.8 juta pekerja mendapat manfaat daripada Langkah Tambahan yang diumumkan bagi membantu meringankan beban kewangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam PERMAI.
Di bawah Pakej PRIHATIN pula, katanya, Program Subsidi Upah (PSU) kepada majikan diberi enam bulan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Selain PRIHATIN, PERMAI, PSU, tumpuan membantu golongan B40, Skim MYFutureJobs, Geran Khas PRIHATIN dan Geran Khas Prihatin (GKP) Tambahan dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Ahmed Razman berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menyusut negatif 5.6 peratus pada keseluruhan 2020, namun menunjukkan pemulihan ketara tahun ini.
"Ini sangat memuaskan kerana ramai menjangkakan lebih teruk daripada itu. Walaupun menyusut sepanjang 2020, namun negatif 4 pada November tetapi pada Disember ini mencatatkan 1.7 peratus, sekali gus penguncupan semakin perlahan.
"Angka eksport pula menunjukkan momentum positif lima bulan berturut-turut, berkembang 6.6 peratus pada Januari lalu kepada RM89.63 bilion (eksport Malaysia)," katanya.
Pengerusi Persatuan Pemandu Teks1M Lembah Klang, Yuzaimi Yusof, berkata ramai ahlinya mendapat manfaat sekali gus membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup dan sangat berterima kasih kepada inisiatif itu dilakukan secara berperingkat.
Berdasarkan keadaan semasa, katanya, tempoh setahun pentadbiran PN disifatkan baik dalam usaha mengawal ekonomi dan kebajikan rakyat.
"Antaranya pemandu teksi yang memohon mendapat bantuan one-off RM500, GKP RM3,000 dan BPN berikutan ramai termasuk dalam golongan B40.
"Misalnya menerusi GKP itu kami dapat sumber kewangan untuk menampung perbelanjaan harian, malah ada yang menggunakan untuk menerokai bidang pekerjaan baharu, sekali gus tidak terasa diketepikan mendapatkan bantuan sewajarnya," katanya.
Individu cacat fizikal, Muhammad Nazreen Khuzairi Fauzi, 26, yang bekerja sebagai penghantar makanan, berkata banyak manfaat diperoleh secara individu menerusi PENJANA, BPN dan faedah caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) walaupun tiada majikan tetap.
"Saya dilindungi caruman PERKESO iaitu hanya perlu membayar RM60 setahun dan selama itu dilindungi insurans. Sejak dua tahun lalu, saya bekerja sebagai penghantar makanan," katanya yang turut mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM400.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan