Guru, murid mesti jaga kebersihan, patuhi protokol kesihatan, SOP
BANGI– Semua Tabika Perpaduan akan dibuka secara bersemuka di seluruh negara bermula 1 Mac ini.
Pembukaan ini adalah selari dengan pengumuman Kementerian Pendidikan (KPM) pada 19 Februari lalu.
Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan Negara akan memastikan pengoperasian itu tertakluk kepada pematuhan yang ketat berdasarkan Garis Panduan Pembukaan Semula Prasekolah, Garis Panduan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Garis Panduan Majlis Keselamatan Negara.
“YB Datuk Halimah Mohamed Sadique, Menteri Perpaduan Negara mengingatkan semua guru agar sentiasa memastikan murid-murid Tabika Perpaduan menjaga kebersihan diri, memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.
“Ibu bapa dan penjaga yang menghantar anak-anak mereka ke Tabika Perpaduan juga perlu mematuhi protokol kesihatan dan SOP yang ditetapkan oleh MKN dan KKM serta arahan kerajaan negeri yang berkaitan sepanjang tempoh pengoperasian ini,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, KPM secara tiba-tiba menetapkan pembukaan sekolah bermula 1 Mac ini untuk pelajar sekolah rendah iaitu pra sekolah, Tahun 1 dan Tahun 2.
Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, bagi pelajar Tahun 3 hingga Tahun 6 pula akan bermula 8 Mac, dan sekolah menengah ditetapkan selepas cuti pertengahan penggal iaitu pada 4 April serta 5 April.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan