Rabu, 3 Februari 2021

Bekalan vaksin Covid-19 Pfizer ke Malaysia tidak terjejas

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
KHAIRY JAMALUDDIN

PUTRAJAYA: Pembekalan vaksin Covid-19 dari syarikat Pfizer tidak terjejas biarpun Kesatuan Eropah (EU) mengumumkan untuk mengenakan tindakan kawalan eksport vaksin berkenaan yang dikilangkan di negara-negara terlibat.

Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, jaminan itu diberikan selepas beliau mengadakan perbincangan dengan Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas dan Duta Besar Belgium ke Malaysia, Pascal H. Gregoire untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung status penghantaran vaksin ke negara ini.

Beliau yang juga Pengerusi bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) berkata, memandangkan vaksin keluaran Pfizer dibangunkan di Puurs, Belgium, duta negara itu memberi jaminan bahawa perjanjian pembelian awal yang dimeterai antara Malaysia dan Pfizer dipenuhi.

“Ia selepas Pfizer memohon izin eksport dan vaksin dihantar mengikut jadual mulai bulan ini.

“Oleh itu, Kerajaan Malaysia meminta agar Pfizer meminta persetujuan untuk mendapatkan kelulusan eksport segera dari Kerajaan Belgium,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Khairy memberitahu, penghantaran pertama untuk satu juta dos untuk memenuhi 500,000 orang negara ini dengan kumpulan pertama vaksinasi diberikan kepada barisan hadapan.

Katanya, vaksin Pfizer itu dihantar secara berperingkat pada suku pertama tahun ini.

“Dengan jaminan kedua-dua duta dari EU dan Belgium itu, pelan imunisasi Covid-19 dijangka berjalan mengikut perancangan.

“Kedua-dua duta itu juga mengeluarkan kenyataan berhubung jaminan pembekalan vaksin tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: