Jumaat, 26 Februari 2021

Pengusaha perkahwinan terpaksa pinjam ceti haram akibat tiada pendapatan

Kamariah Khalidi
MGF26022021_PENGUSAHAN-PERKAHWINAN-SERAH-MEMO06
Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohideen bersama ahli yang lain berkumpul di Dataran Putra bagi menghantar memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri merayu supaya industri perkahwinan dibenarkan beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 di Putrajaya. 
Foto HAZROL ZAINAL

PUTRAJAYA – Gara-gara terdesak kerana industri perkahwinan tidak beroperasi sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ada segelintir pengusaha terpaksa meminjam dari ceti haram atau ‘ah long’ akibat kehilangan pendapatan.

Presiden Persatuan Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM), Zarinah Mohideen berkata, pengusaha industri berkenaan mengalami keperitan kerana masih perlu menyelesaikan pelbagai komitmen termasuklah sewa dewan.

MGF26022021_PENGUSAHAN-PERKAHWINAN-SERAH-MEMO08
Zarinah Mohideen

Menurut Zarinah, sudah hampir setahun mereka tidak dapat beroperasi secara lancar akibat PKP sehingga menyebabkan ratusan pengusaha terpaksa gulung tikar.

“Kita menghadapi masalah apabila ada dalam kalangan pengusaha terpaksa meminjam wang dari ceti haram.

“Mereka ini meminjam dari banyak tempat sehingga berbelas ‘ah long’ akibat tiada pendapatan walaupun sebelum ini mereka bukanlah kaki ‘ah long’ mahupun kaki judi.

“Mereka semua ini pengusaha majlis perkahwinan tetapi terjebak kerana tiada jalan lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dataran Putra di sini hari ini.

MGF26022021_PENGUSAHAN-PERKAHWINAN-SERAH-MEMO05
Sebahagian daripada ahli-ahli Persatuan Pengusaha Majlis 
Perkahwinan Malaysia (PPMPM) berkumpul di Dataran 
Putra bagi menghantar memorandum kepada Pejabat Perdana 
Menteri merayu supaya industri perkahwinan dibenarkan 
beroperasi dalam tempoh Perintah Kawakan Pergerakan 
2.0 di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL

Terdahulu puluhan pengusaha industri perkahwinan berdaftar terdiri daripada pengurus acara, peniaga katering, penyedia dewan perkahwinan, jurusolek serta deejay berhimpun untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mengulas lanjut, Zarinah berkata, tujuan mereka berhimpun beramai-ramai bukan berniat untuk mencetuskan huru-hara namun atas dasar memohon kepada kerajaan supaya mendengar suara pengusaha dalam industri berkenaan.

“Kami harap Perdana Menteri dengar suara kami dan buka semula industri ini. Jangan ‘double standard’ kerana banyak sektor lain sudah dibuka.

“Kami sendiri tidak tahu hendak tuju ke mana kerana kalau pergi kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kami ditolak, hendak pergi ke Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pun sama.

“Kami cuma mahu hak kami didengar oleh kerajaan kerana industri perkahwinan di negara ini sudah nazak,” ujarnya.

Tambah Zarinah lagi, mereka bukan sahaja dibebani dengan kos bayaran sewa premis malah turut berdepan dengan isu Mahkamah Tribunal dan pembayaran balik kepada pelanggan.

Zarinah menjelaskan, setiap kali pelaksanaan PKP, mereka harus memulangkan semula wang kepada pelanggan yang sudah membayar untuk mendapatkan perkhidmatan.

“Kami juga menanggung kos tribunal dan isu refund (bayaran balik). Syarikat yang besar kadang-kala berdepan sehingga RM200,000 hingga RM300,000 ‘refund’.

“Kami ini tiada ‘check and balance’, bukan sahaja pengguna yang terkesan tetapi kami dalam kalangan pengusaha pun sama,” katanya.

Sementara itu, menurut Timbalan Presiden PPMPM, Daeng Syamsalleh Hamzah, pihaknya sudah menghantar surat kepada Pejabat Perdana Menteri pada 18 Februari lalu namun tiada sebarang balasan.

MGF26022021_PENGUSAHAN-PERKAHWINAN-SERAH-MEMO04
Daeng Syamsalleh Hamzah

Justeru katanya, perhimpunan  pada hari ini yang membabitkan puluhan pengusaha bertujuan merayu kepada kerajaan supaya menilai keperluan industri berkenaan untuk beroperasi semula ketika tempoh PKP 2.0.

“Kita ada tiga gabungan iaitu pengusaha perkahwinan Melayu, Cina dan juga India.

“Kira-kira 10,000 pengusaha terkesan dengan penutupan penuh industri ini termasuk hampir 200,000 pekerja yang kehilangan mata pencarian.

“Jadi kami mohon pihak berwajib agar mempertimbangkan supaya kami dapat menjalankan aktiviti perniagaan semula memandangkan April nanti sudah masuk bulan Ramadan, jadi tiada sebarang majlis perkahwinan berlangsung,” katanya. – Malaysia Gazette

Tiada ulasan: