Sabtu, 27 Februari 2021

Henti melombong emas jika tiada lesen - MB Pahang

Bernama
Henti melombong emas jika tiada lesen - MB Pahang
WAN ROSDY: Mereka yang tidak mempunyai lesen untuk melombong emas termasuk 
di tanah milik sendiri, perlu menghentikan aktiviti tersebut. -Bernama
 
KUANTAN: Mereka yang tidak mempunyai lesen untuk melombong emas termasuk di tanah milik sendiri, perlu menghentikan aktiviti tersebut kerana perbuatan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
 
Beliau berkata, semua kegiatan perlombongan perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri, dengan mereka yang berhasrat melakukan aktiviti itu perlu membuat permohonan kepada agensi berkaitan, sebelum memperoleh kelulusan, jika pemohon memenuhi syarat ditetapkan.
 
Bagi memastikan aktiviti perlombongan berjalan lancar, teratur dan mematuhi undang-undang, Wan Rosdy memaklumkan kerajaan negeri telah mempertimbangkan cadangan melaksanakan Skim Pelombong Kecil (SPK), khusus bagi aktiviti yang melibatkan kawasan seluas 4.05 hektar ke bawah.
 
"SPK yang dijangka berkuatkuasa pada Jun, akan diselaraskan oleh Pahang Mining Corporation Sdn Bhd (PMC), dengan tujuan memudah cara dan membantu penduduk melakukan aktiviti perlombongan secara sah, selain memastikan tiada ketirisan hasil negeri akibat perlombongan haram.
 
"Antara tanggungjawab PMC ialah mengenal pasti tanah milik individu yang berpotensi di lombong atau pemilik tanah sendiri boleh membuat permohonan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Imunisasi COVID-19 Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, pada Jumaat.
 
Pada program itu, Wan Rosdy menjadi individu pertama di Pahang yang menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNtech, diikuti 115 barisan petugas barisan hadapan negeri itu.
 
Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Pengarah Kesihatan negeri Datuk Dr Bahari Che Awang Ngah dan Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang Mohd Zairasyahli Shah Zakaria.
 
Wan Rosdy mengulas dakwaan penduduk di beberapa kampung di Mukim Kechau, Lipis kira-kira 237 kilometer sini, diibaratkan seperti tinggal di 'perkampungan emas' kerana tanah kawasan rumah mereka dikatakan mempunyai logam tersebut, dalam jumlah yang banyak.
 
Mengulas lanjut mengenai SPK, Wan Rosdy berkata pelaksanaan skim itu membolehkan aktiviti perlombongan dilakukan secara berkelompok, dengan menggabungkan tanah-tanah milik bersebelahan sekali gus menjadikan kos pengendalian lebih rendah menerusi perkongsian antara pemilik.
 
"Operasi perlombongan juga akan menjadi lebih teratur menerusi SPK. Bagaimanapun, mereka yang diberi kelulusan perlu terus mematuhi peraturan kerana pemantauan tetap dilaksanakan, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti pencemaran yang akan menyusahkan lebih ramai orang," katanya.
 
Sebagai contoh, Wan Rosdy berkata sebanyak 16 serbuan dan sitaan telah dijalankan dalam tempoh kurang sebulan, iaitu bermula 3 Feb hingga 24 Feb , dengan 14 kes melibatkan daerah Lipis dan bakinya di Raub, yang menyaksikan 15 jentera, 16 pam air dan masing-masing sebuah enjin air dan generator dirampas.
 
Ini melibatkan kesalahan di bawah Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001, dengan majoriti kesalahan ialah melombong emas tanpa kelulusan pihak berkuasa negeri, selain ada yang dikatakan menyebabkan pencemaran air.-- BERNAMA

Tiada ulasan: