Rabu, 24 Februari 2021

PETRONAS temui gas baharu di Sarawak

fazleensafina

Ditemui di perairan Daerah Baram, 90 kilometer dari pantai Sarawak

KUALA LUMPUR – Aktiviti PETRONAS yang meneroka telaga Dokong-1 di Blok SK417 Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) membuahkan hasil apabila menemui gas baharu.

Telaga berkenaan terletak di perairan cetek Daerah Baram, kira-kira 90 kilometer dari pantai Sarawak.

Petronas Carigali Sdn Bhd, anak syarikat PETRONAS memiliki 20 peratus penyertaan kepentingan di Blok SK417 PSC.

Selain itu, pengendalinya, PTT Exploration and Production Public Company Ltd (PTTEP) menerusi anak syarikat milik penuh, PTTEP HK Offshore Ltd memiliki 80 peratus kepentingan.

PSC itu dimeterai pada Mac 2018 daripada Pusingan Bidaan Malaysia 2017.

Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia PETRONAS, Mohamed Firouz Asnan berkata, telaga penerokaan Dokong-1 adalah salah satu daripada beberapa aktiviti penerokaan di Malaysia yang berjaya kebelakangan ini.

“Penjanaan hasil daripada penemuan gas di Daerah Baram boleh disokong menerusi infrastruktur sedia ada dan akan menyumbang kepada aspirasi PETRONAS untuk menyampaikan bekalan tenaga yang dipercayai, stabil serta lebih bersih ke pasaran domestik dan global,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata, penemuan Dokong-1 itu menghidupkan semula keseluruhan landskap penerokaan Daerah Baram, sekali gus mengukuhkan rangkaian bekalan gasnya sebagai sebahagian sistem gas Sarawak yang lebih besar.

“PETRONAS bersama pihak-pihak PSC, kini sedang melaksanakan penilaian selanjutnya untuk menentukan kedudukan penuh penemuan terbabit,” katanya.

Dokong-1 adalah telaga penerokaan di kawasan baharu yang berjaya digerudi pada kedalaman 3,810 meter pertengahan bulan lalu.

Penemuan kolum gas berukuran lebih daripada 80 meter di takungan Pertengahan ke Akhir Miocene Cycle VI-VII mengesahkan lagi potensi baki prospeknya di Daerah Baram.

Penemuan gas bebas bahan cemar di Dokong-1 bukan saja menghidupkan semula aktiviti perairan cetek Baram, malah membuktikan kehadiran banyak gas di kawasan berkenaan.

PETRONAS akan menawarkan empat blok perairan cetek di Sarawak sebagai sebahagian daripada Pusingan Bidaan Malaysia 2021, yang akan berlangsung Jumaat ini.

Tiada ulasan: