Selasa, 23 Februari 2021

“Tiada yang terkecuali, termasuk timbalan saya, ketua jabatan atau balai” – Ayob Khan

ayob khan
Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay./ Gambar Facebook Polis Johor

SEJAK bertugas di Johor, nama Datok Ayob Khan Mydin Pitchay sememangnya digeruni oleh penjenayah atau sesiapa sahaja yang sering melanggar undang-undang di negeri itu atas ketegasan tindakannya.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak terkecuali terhadap para anggota serta pegawai dibawahnya yang mana misi dan visi utama pegawai polis nombor satu di Johor itu ialah menegakkan integriti dan rasuah dalam kalangan pasukannya.

Dalam satu temu bual khas bersama Harian Metro, Ketua Polis Johor itu berkata, tiada tolak ansur dalam soal integriti dan rasuah tiada tolak ansur, sekali gus menjadi perkara paling penting ditekankannya sebaik menjawat jawatan itu.

Beliau memberi amaran akan mengambil tindakan tanpa mengira kedudukan sama ada Timbalan Ketua Polis Johor, Ketua Jabatan, Ketua Polis Daerah, Ketua Balai atau mana-mana pegawai dan anggota terbabit dengan rasuah.

“Mana-mana pegawai dan anggota yang tiada integriti dan bersekongkol dengan eleman negatif, saya akan mengambil tindakan tegas.

“Pilihan pertama, sekiranya kes besar saya akan serahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan keduanya membuka kes tatatertib iaitu dibuang kerja atau diturunkan pangkat,” katanya dalam temu bual khas bersama akhbar tersebut yang disiarkan hari ini.

BERITA BERKAITAN Ada pegawai kanan polis cuai dalam siasatan, dedah Ayob Khan

Ayob Khan berkata, beliau tidak akan memindahkan pegawai dan anggota ke tempat lain kerana akan memastikan di mana kesalahan dibuat, di situlah mereka akan dihukum.

Beliau berkata, seterusnya penekanan kepada penyeliaan iaitu pegawai penyelia dalam sebarang isu salah laku dan sebagainya akan dipertanggungjawabkan.

“Dalam soal ini, Ketua Jabatan bertanggungjawab di peringkat kontinjen manakala di peringkat daerah Ketua Polis Daerah dipertanggungjawabkan.

“Mereka tidak boleh lagi lepas tangan atau memandang sambil lewa isu penyeliaan.

“Memang pada mulanya mereka nampak seperti gusar ketika saya menyampaikan visi dan misi ini, tetapi Alhamdulillah selepas beberapa bulan mereka sudah dapat mengikut rentak,” katanya.

Ayob Khan berkata, seterusnya beliau memberi penekanan mengenai operasi dan mahu lebih banyak operasi dilancarkan kerana tidak mahu operasi terpijak.

Menurutnya, sejak dulu beliau lebih menekankan operasi dan motonya ketika di Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas, Bukit Aman ialah ‘Tiada hari tanpa operasi’ dan kaedah itu ingin diterap di kontinjen Johor.

Mengulas mengenai tindakan ke atas pegawai dan anggota yang melakukan kesalahan, Ayob Khan berkata, seramai 230 orang membabitkan lima pegawai kanan dan 225 anggota dikenakan tindakan tatatertib.

Beliau berkata, seramai 44 orang dituduh di mahkamah membabitkan seorang pegawai dan 43 anggota manakala 57 orang iaitu empat pegawai kanan dan 53 anggota dikenakan tindakan tahan kerja.

Katanya, seramai 12 anggota dikenakan tindakan gantung kerja dan 46 anggota dibuang kerja berikutan kesalahan dadah dan salah laku.

Tiada ulasan: