KUALA LUMPUR: Pengusaha bas sekolah boleh menarik nafas lega menjelang pembukaan semula sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat mulai 1 Mac ini.
Meskipun hanya melibatkan sekolah rendah pada peringkat permulaan, ia memberi sedikit sinar kepada mereka untuk bangkit semula sejak dunia dilanda pandemik Covid-19 awal tahun lalu.
Presiden Persekutuan Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat berkata, sektor itu sudah lama menderita sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan tahun lalu yang memaksa sesi persekolahan bersemuka ditangguhkan.
“Hampir 40% pengusaha bas sekolah gulung tikar. Jika dahulu kita ada dalam 10,000 pengusaha di seluruh negara, namun kini saya berani cakap tinggal 6,000 saja. Selebihnya sudah gulung tikar, menanggung kerugian dek tidak mampu menampung kos selenggara bas dan ramai yang beralih ke sektor ekonomi gig.
“Hutang syarikat kredit dan kos selenggara antara beban kami terpaksa tanggung, walaupun kali terakhir mendapat bayaran daripada ibu bapa September tahun lalu. Secara keseluruhan, pada 2020, kami hanya dibayar sebanyak enam bulan saja, iaitu Januari, Februari, Mac, Julai, Ogos dan September,” katanya kepada Bernama.
Selain jumlah pemain industri yang semakin menguncup, katanya, kebanyakan penjaga juga masih risau risiko jangkitan Covid-19 di dalam bas sekolah sehingga tidak berani membenarkan anak mereka menggunakan perkhidmatan itu.
“Ramai ibu bapa yang diberi kelonggaran bekerja dari rumah juga mempengaruhi jumlah pengguna perkhidmatan kami kerana mereka mempunyai masa untuk menghantar anak-anak ke sekolah sendiri.
“Situasi ini agak membimbangkan kerana graf kami menunjukkan jumlah penurunan penumpang yang konsisten, malah sejak tahun lalu sehingga ke hari ini, kita kehilangan lebih 500,000 penumpang atau kira-kira 33% daripada jumlah pengguna berbanding sebelum pandemik Covid-19 melanda.”
Menteri Pendidikan, Radzi Jidin sebelum ini mengumumkan pembukaan semula sesi persekolahan berperingkat bermula dengan murid prasekolah, Tahun 1 dan 2 di sekolah rendah pada 1 Mac, diikuti Tahun 3, 4, 5 dan 6 bermula 8 Mac.
Sekolah menengah pula akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April bagi sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala negeri lain pada 5 April.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan