Khamis, 25 Februari 2021

Kes luar tabii: Gambaran awal ‘tutup pintu’ laksana hudud, qisas

fazleensafina

PGSM gesa kerajaan negeri kaji semula peruntukan perundangan Syariah

BANGI – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa kerajaan negeri dan pihak-pihak berautoriti mengambil tindakan drastik serta holistik untuk melihat atau mengkaji semula peruntukan undang-undang jenayah Syariah sedia ada.

Presidennya, Musa Awang berkata, hal itu bagi memastikan undang-undang jenayah Syariah tidak lagi dicabar dan menjadi mangsa untuk diperkotak-katikkan oleh pihak-pihak tertentu.

Katanya lagi, tindakan Mahkamah Persekutuan memutuskan kesalahan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii bercanggah dengan Perlembagaan adalah gambaran awal ‘menutup pintu’ kepada cadangan melaksanakan undang-undang hudud dan qisas di negara ini.

“Ini kerana kesalahan hudud seperti mencuri (sariqah), merompak (hirabah), kesalahan qisas seperti membunuh (al-qatl) juga terdapat dalam Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan memutuskan badan perundangan negeri Selangor tidak mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang Syariah yang menjadikan seks luar tabii satu kesalahan.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel sembilan hakim berkata, kuasa utama untuk meluluskan undang-undang jenayah terletak pada Parlimen.

Beliau berkata, Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995, yang memperuntukkan seks luar tabii boleh dihukum, adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Seksyen yang diluluskan itu juga bertentangan dengan Senarai Negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, Seksyen 28 tidak konsisten dan tidak sah,” katanya.

Mengulas lanjut, Musa berkata, keputusan itu menunjukkan bahawa selagi mana terdapat peruntukan mengenai sesuatu kesalahan jenayah dalam undang-undang Persekutuan, maka sukar untuk sesebuah negeri mengadakan atau menggubal peruntukan berhubung kesalahan-kesalahan jenayah Syariah.

“…walaupun kesalahan itu adalah dalam kategori kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap ‘perintah agama’ itu,” katanya.

Jelasnya, keputusan berkenaan turut memberi implikasi yang cukup besar kepada perundangan Syariah di negara ini, khususnya dalam perkara berhubung dengan kesalahan-kesalahan jenayah Syariah dalam Enakmen Kesalahan atau Jenayah Syariah Negeri-Negeri.

Katanya, ia bermaksud bahawa badan perundangan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan berhubung kesalahan jenayah Syariah, sekiranya telah wujud peruntukan yang hampir sama dalam undang-undang Persekutuan yang digubal oleh Parlimen.

“…walaupun kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap ‘perintah agama’ dalam Butiran 1 Jadual Kedua – Senarai Negeri (Perlembagaan Persekutuan) Seksyen 28 (Persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii) dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 memperuntukkan sebagaimana berikut:

“Mana-mana orang yang melakukan persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii dengan mana-mana lelaki, perempuan atau binatang adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu,” katanya lagi.

Tiada ulasan: