Sabtu, 27 Februari 2021

15 penyerang di Thailand mungkin cuba selinap ke Malaysia, kata KPN

Abdul Hamid Bador berkata, polis dan tentera akan memperketatkan 
kawalan di semua sempadan Malaysia-Thailand. (Gambar Bernama)

JELI: Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador tidak menolak kemungkinan 15 penyerang yang diburu polis Thailand akan cuba memasuki negara ini.

Justeru, beliau berkata, pihaknya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperketatkan kawalan di semua sempadan Malaysia-Thailand bagi menghadapi kebarangkalian itu.

“Berhubung kawalan sempadan, kedua-dua pihak sama ada PDRM dan ATM sentiasa diingatkan supaya memperketatkan kawalan sempadan.

“Dengan kejadian yang berlaku di Thailand, kami tidak menolak kemungkinan mereka (15 penyerang) akan masuk (Malaysia),” katanya selepas melawat tapak pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli.

Beliau mengulas laporan dua anggota renjer maut, manakala seorang lagi rakan mereka parah dalam letupan bom paip serta insiden berbalas tembakan di sebuah kampung di Ra-ngae, Narathiwat, selatan Thailand pada Jumaat lepas.

Media melaporkan Ketua Polis Ra-ngae, Piyapak Thongpanlertkun berkata, dalam kejadian 6.50 pagi (waktu tempatan) itu, 16 anggota renjer yang sedang berehat di dalam khemah selepas melakukan rondaan dikejutkan dengan beberapa letupan, kemudian sekumpulan individu mula melontarkan bom paip buatan sendiri serta melepaskan tembakan ke arah khemah itu.

Tiada ulasan: