Sabtu, 27 Februari 2021

Pembukaan sekolah: Harapan baharu pengusaha 'bas kuning'

BH ONLINE
Pengusaha bas sekolah di negara ini boleh menghela nafas lega menjelang pembukaan semula sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat mulai 1 Mac ini.- Foto NSTP/Iqmal haqim Rosman
Pengusaha bas sekolah di negara ini boleh menghela nafas lega menjelang pembukaan semula sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat mulai 1 Mac ini.- Foto NSTP/Iqmal haqim Rosman

KUALA LUMPUR: Pengusaha bas sekolah di negara ini boleh menghela nafas lega menjelang pembukaan semula sesi persekolahan bersemuka secara berperingkat mulai 1 Mac ini.

Meskipun hanya membabitkan murid sekolah rendah pada peringkat permulaan, ia memberi sedikit sinar kepada mereka untuk bangkit semula selepas kegelapan panjang sejak dunia dilanda pandemik COVID-19 awal tahun lalu.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif Rahmat, berkata sektor itu sudah lama menderita sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dilaksanakan tahun lalu yang memaksa sesi persekolahan bersemuka ditangguhkan.

"Hampir 40 peratus pengusaha bas sekolah gulung tikar. Jika dahulu kita ada dalam 10,000 pengusaha di seluruh negara namun kini saya berani cakap tinggal 6,000 sahaja. Selebihnya, sudah gulung tikar, menanggung kerugian dek tidak mampu menampung kos selenggara bas dan ramai yang beralih ke sektor ekonomi gig.

"Hutang syarikat kredit dan kos selenggara antara beban kami terpaksa tanggung walaupun kali terakhir mendapat bayaran daripada ibu bapa adalah September tahun lalu. Secara keseluruhan pada 2020 kami hanya dibayar sebanyak enam bulan sahaja iaitu Januari, Februari, Mac, Julai, Ogos dan September," katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu Amali Munif berkata, selain jumlah pemain industri yang semakin menguncup, kebanyakan penjaga juga masih risau risiko jangkitan COVID-19 di dalam bas sekolah sehingga tidak lagi berani membenarkan anak mereka menggunakan perkhidmatan itu.

"Ramai ibu bapa yang diberi kelonggaran bekerja dari rumah juga telah mempengaruhi jumlah pengguna perkhidmatan kami kerana mereka mempunyai masa untuk menghantar sendiri anak ke sekolah.

"Situasi ini agak membimbangkan kerana graf kami menunjukkan jumlah penurunan penumpang yang konsisten malah sejak tahun lalu sehingga ke hari ini kita sudah kehilangan lebih 500,000 penumpang atau kira-kira 33 peratus dari jumlah pengguna berbanding sebelum pandemik COVID-19 melanda," katanya.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin sebelum ini mengumumkan pembukaan semula sesi persekolahan berperingkat bermula dengan murid prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara pada 1 Mac diikuti Tahun Tiga, Empat, Lima dan Enam bermula 8 Mac.

Sekolah menengah pula akan memulakan sesi persekolahan pada 4 April bagi sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala bagi negeri lain pada 5 April. – BERNAMA

Tiada ulasan: