Khamis, 25 Februari 2021

Pulihara Kompleks Sejarah Pasir Salak

Oleh SAYED HESHAM IDRIS
KEADAAN salah satu bangunan di Kompleks Sejarah Pasir Salak yang tidak diselenggara dengan baik ketika tinjauan di Pasir Salak baru-baru ini. -UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN

IPOH: Individu yang menggerakan inisiatif membangunkan Kompleks Sejarah Pasir Salak pada tahun 1990, Tan Sri Ramli Ngah Talib berharap kompleks berkenaan kembali menjadi tumpuan pelancong seperti dahulu.

Bekas menteri besar itu berkata, beliau memahami kerajaan mungkin sukar dari segi kewangan untuk menjaga dengan baik kompleks sejarah itu sehingga keadaannya tidak lagi sebaik seperti sebelum ini.

Menurutnya, beliau sedar kerajaan perlu memberi perhatian kepada perkara-perkara lain yang lebih penting.

“Untuk itu saya bersabar untuk melihat kompleks ini dibangunkan semula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ramli merupakan individu yang menggerakan inisiatif membangunkan Kompleks Sejarah Pasir Salak pada tahun 1990 sehingga terkenal sebagai antara tarikan pelancong ke negeri ini.

Namun, selepas beliau tidak lagi menjadi menteri besar, keadaan kompleks berkenaan dilihat tidak diselenggara dengan baik.

Ramli mengakui sedia maklum mengenai keadaan kompleks berkenaan yang tidak lagi seperti dahulu apabila kekurangan pelancong dan tidak diselenggara dengan baik.

Menurut Ramli, kompleks berkenaan dibina di Pasir Salak kerana ia adalah sejarah penting negara iaitu tempat bermulanya kebangkitan pejuang-pejuang Melayu menentang penjajah British.

Katanya, beliau maklum mengenai keadaan di kompleks berkenaan kerana sesekali balik kampung di Pasir Salak.

“Saya faham sudah lama ada rungutan orang ramai terhadap keadaan kompleks sejarah itu dan juga keadaan rumah Datuk Maharajalela yang daif.

“Saya ada rujuk kepada mereka yang berkenaan mengenai perkara ini, namun saya tak campur tangan secara terus malah perkara itu sudah diambil maklum oleh exco kerajaan negeri.

“Rugi jika kompeks ini tidak dimanfaatkan namun saya faham keadaan kerajaan sekarang yang mungkin sukar dari segi kewangan untuk memberikan tumpuan kepada kompleks ini, atas dasar itu kita bersabar.

“Jika kerajaan sudah mempunyai kewangan nanti, saya berharap kerajaan beri tumpuan sikit. Tempat sudah ada, tak payah cari produk baru, nikmati sejarah penting negara yang terjadi di Pasir Salak,” katanya.

Ramli menafikan andaian kompleks berkenaan tidak dijaga dengan baik kerana beliau tidak lagi menjadi menteri besar.

“Bukan begitu, saya nafikan dakwaan itu. Saya faham keadaan kewangan kerajaan.

“Saya bina kompleks ini kerana ia sejarah negara yang berlaku di sini. Yang dipaparkan ialah sejarah Melayu keseluruhan, ini bukan sejarah saya, bukan sejarah negeri Perak sahaja tetapi ini adalah sejarah orang Melayu,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: