SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan seluruh rakyat agar tidak terpedaya dengan kumpulan-kumpulan tertentu yang mendakwa diri mereka sebagai antivaksin.
Titah Baginda, usaha yang dilakukan kerajaan menerusi pemberian vaksin itu seiring dengan tuntutan agama dan amat wajar dilakukan demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.
“Beta menasihatkan sekalian rakyat khususnya di Selangor agar mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 masing-masing seperti yang telah dijadualkan oleh Kementerian Kesihatan.
“Meskipun telah mendapatkan vaksin kelak, beta mahu rakyat terus hidup dengan mengamalkan norma-norma baharu sehinggalah pandemik Covid-19 ini dapat dikawal sepenuhnya,”titah baginda di laman Facebook rasmi Selangor Royal Office malam ini.
Titah Sultan Sharafuddin, pemberian vaksin harus ditumpukan kepada petugas-petugas barisan hadapan yang sentiasa berdepan risiko jangkitan yang lebih tinggi.
Oleh demikian, baginda berkenan untuk menerima giliran suntikan vaksin Covid-19 hanya selepas semua petugas barisan hadapan termasuk doktor, jururawat, kakitangan hospital, anggota keselamatan dan guru mendapat suntikan.
“Sehingga semua petugas barisan hadapan mendapatkan suntikan vaksin masing-masing, beta sendiri akan terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa termasuk memakai pelitup muka, mengekalkan penjarakan fizikal serta duduk di rumah sekiranya tidak perlu untuk berada di luar,” titah baginda.
Semalam, sebanyak 78,000 dos vaksin Pfizer-Biontech diterima kerajaan negeri dalam Program Imunisasi Vaksin Covid-19 Selangor, bermula hari ini.
Dalam pelancaran program itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari antara 42 individu yang menerima suntikan vaksin. -UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan