KUALA LUMPUR: Suntikan fiskal melalui Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) diumumkan kerajaan memberi kesan serta-merta kepada pergerakan ekonomi.
Sebanyak 44 peratus daripada keseluruhan Pakej PERMAI bernilai RM15 bilion berbentuk suntikan fiskal, yang antara lain mampu meminimumkan implikasi negatif susulan sekatan perjalanan menerusi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.
Ia membabitkan Bantuan Prihatin Nasional Fasa Kedua (BPN 2.0), Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Program Subsidi Upah 2.0 (PSU 2.0) dan beberapa bantuan lain.
Pakar Ekonomi dari Universiti Putra Malaysia, Dr Ahmed Razman Abdul Latif, berkata laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) juga membuktikan inisiatif dalam Pakej PERMAI bersifat mudah untuk dilaksana dan disalurkan kepada orang ramai.
berkata, impak daripada pelaksanaan Pakej PERMAI adalah ketara dan mampu dinikmati masyarakat pelbagai lapisan, selain sebahagian besar peruntukan sudah disalurkan penerima.
"Secara prinsipnya, kalau berlaku suntikan wang secara langsung memang akan beri kesan serta-merta kepada ekonomi, walaupun bantuan di bawah Pakej PERMAI bersifat jangka pendek.
"Angka dibentang dalam laporan LAKSANA juga signifikan apabila lebih 30 peratus daripada peruntukan BPR sudah sampai kepada 8.45 juta penerima, sekali gus membolehkan mereka mendapat manfaat daripadanya.
"Peruntukan PSU juga melebihi sasaran dan hampir 70 peratus PSU 2.0 sudah disalurkan. Kini kita berharap PSU 3.0 turut mengikut kecekapan sama," katanya ketika dihubungi BH.
Pada 18 Januari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan Pakej PERMAI bagi meringankan beban rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19.
Pakej bantuan terbaharu itu akan dilaksanakan menerusi 22 inisiatif dengan tiga matlamat, iaitu memerangi pandemik COVID-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan.
Teras Pakej PERMAI masih bertunjangkan usaha kerajaan bagi membantu rakyat, perniagaan dan melindungi ekonomi negara.
Ia adalah tambahan kepada empat pakej rangsangan ekonomi yang sudah dilaksanakan sejak penularan COVID-19 pada awal tahun lalu, membabitkan nilai keseluruhan RM305 bilion atau lebih 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
mpat pakej bantuan terdahulu adalah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), PRIHATIN Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan Kerangka Inisiatif Tambahan Khas PRIHATIN (KitaPrihatin).
Sementara itu, Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, berkata Pakej PERMAI turut membantu aliran tunai perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peniaga mikro.
Selain itu, katanya, perluasan geran khas PRIHATIN juga sangat membantu usahawan kerana memberi peluang kepada peniaga untuk membuat perubahan dalam model perniagaan masing-masing apabila berdepan pasca COVID-19.
"Ekonomi tidak mampu kembali normal begitu mudah dan akan kekal dengan norma baharu, terutama ekonomi digital, walaupun kesan kesihatan dapat dilandaikan menerusi Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
"Dari perspektif ekonomi, Pakej PERMAI banyak memberi kesan dalam suku pertama 2021 yang agak terkesan akibat pelaksanaan PKP. Saya yakin dengan pakej ini dapat memelihara kebajikan rakyat," katanya.
"Pakej PERMAI akan mewujudkan keadaan yang mana wang akan mengalir dalam ekonomi, sekali gus akan merancakkan permintaan domestik dan penggunaan swasta bagi pertumbuhan ekonomi.
"Ia juga meningkatkan momentum ekonomi pada suku pertama. Malah, ia disokong PICK yang akan memberi keyakinan pelabur terhadap sentimen pertumbuhan ekonomi, selain Bank Dunia menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 6 hingga 6.5 peratus, tahun ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan