Ahad, 28 Februari 2021

Jenayah syariah, Menteri arah jawatankuasa Jakim bersidang

diarah bincang

JAWATANKUASA Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diarah bersidang bagi membincangkan ruang penambahbaikan undang-undang syariah yang boleh dilaksanakan khususnya berkenaan kesalahan jenayah syariah.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri susulan keputusan Mahkamah Persekutuan kelmarin berhubung keabsahan peruntukan seks luar tabii di dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor.

Menurut Dr Zulkifli, beliau juga telah mengadakan perbincangan bersama Penasihat Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mendapatkan pandangan beliau berkenaan kesan dan implikasi perundangan yang berbangkit daripada keputusan mahkamah.

Beliau juga pada masa sama menyeru agar umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia menghormati penghakiman tersebut dan tidak mencetuskan spekulasi.

“Semua pihak diminta bertenang dan tidak memberikan ulasan atau pandangan yang boleh mencetuskan suasana yang tidak sihat serta boleh menjejaskan perpaduan dan kehamonian dalam negara yang tercinta ini,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Baca artikel berkaitan: Syariah: Menanti respons menteri susulan keputusan semalam

Keputusan buka ruang pihak lain cabar Enakmen Jenayah Syariah – PGSM

Tambah Dr Zulkifli, sebagai menteri yang bertanggungjawab hal ehwal Islam, beliau akan terus menjunjunjung prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan menjunjung Islam sebagai agama bagi Persekutuan menjadikan kedudukan agama Islam lebih istimewa berbanding agama lain seperti mana diputuskan Mahkamah persekutuan dalam kes-kes terdahulu.

Tambahnya, beliau mengambil maklum keputusan Mahkamah Persekutuan kelmarin berhubung keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan penghakiman tersebut diputuskan berpandukan Perlembagaan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian yang terbaik bagi maslahat semua sama ada yang Islam atau bukan.

“Penghargaan ditujukan kepada Exco Hal Ehwal Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni mewakili kerajaan Selangor yang akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan dan meleiti perkara tersebut bagi memperkasan perundangan syariah di Selangor.

‘Ini satu tindakan proaktif yang wajar diberi pengiktirafan,” katanya.

Tiada ulasan: