Rabu, 24 Februari 2021

Pesalah ingkar SOP mula turun kepada 321 individu

Oleh AMREE AHMAD
ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Setelah catat kenaikan tiga hari berturutan, jumlah kes ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara semalam mula turun.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 321 ditahan semalam berbanding 509 individu kelmarin, 493 individu pada Sabtu dan 461 individu pada Jumaat lalu.

“Daripada jumlah itu, 286 dikompaun, 29 direman dan enam dijamin dengan kes paling tinggi semalam ialah tiada memakai pelitup muka iaitu 75,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Ini diikuti gagal menyediakan peralatan rekod butiran diri di premis (65), merentas kawasan tanpa kebenaran (55), tiada jarak fizikal (49), aktiviti pusat hiburan (30) dan lain-lain (47).

Kesemua dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 67,979 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,537 pasukan di seluruh negara.

Ismail Sabri menambah, 15,506 anggota semalam memantau 5,741 restoran, 4,504 pasar raya, 4,065 bank, 3,554 rumah ibadah, 2,302 penjaja, 2,295 pasar awam/tani dan 1,700 kilang

Seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan empat tekong juga ditahan semalam melalui Operasi Benteng bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan penularan Covid-19.

“Sebanyak 11 buah kenderaan darat berjaya dirampas selain 34 bot atau kapal dicurigai turut dikesan berdekatan perairan negara menerusi empat aktiviti penglihatan,” tegas beliau.

Op Benteng itu ujar beliau lagi, turut mengadakan 508 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 46 dilaksanakan polis.

Beliau turut memaklumkan bahawa sejumlah 100 operasi sanitasi awam dilakukan di negara ini semalam yang meliputi 31 zon merah, lima zon jingga, lapan zon kuning dan satu zon hijau.

Ia ujar beliau, melibatkan penugasan seramai 433 anggota bomba selain 200 anggota pihak berkuasa tempatan dan 10 dari pelbagai agensi lain dengan penggunaan 95 jentera bomba.

Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 653 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah pun diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.

“Sejumlah 128,966 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu melalui kuarantin wajib di 78 buah hotel serta 12 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata Ismail Sabri.

Seramai 685 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 120,747 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing selepas kuarantin.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 608 peruncit, 157 pemborong dan 32 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu katanya, juga melakukan 2,016 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan cuma satu premis diberi nasihat kerana didapati kurang mematuhi peraturan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: