Jumaat, 26 Februari 2021

Kerajaan Selangor teliti keputusan Mahkamah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor akan meneliti secara mendalam keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini, bahawa satu seksyen dalam Enakmen Kesalahan-Kesalahan Jenayah Selangor sebagai tidak sah.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata kerajaan Selangor juga akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan dan berkepentingan bagi mendapatkan perincian.

Beliau berkata, selepas itu pihaknya akan memutuskan untuk mengambil tindakan selanjutnya.

"Kerajaan Selangor akan meneliti perkara ini secara mendalam dan akan berbincang dengan pihak-pihak berkaitan dan pihak-pihak berkepentingan untuk mendapatkan gambaran lebih jelas, sebelum mengambil tindakan sewajarnya.

"Kerajaan negeri Selangor juga ingin menasihatkan supaya khalayak rakyat bertenang dan tidak memberikan ulasan atau respons yang boleh mencetuskan situasi negatif.

"Sebagai rakyat yang memahami prinsip negara berperlembagaan penting untuk kita sentiasa memelihara keharmonian negara," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada hari ini yang memutuskan satu seksyen dalam Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah Selangor sebagai tidak sah.

Panel sembilan hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat mendapati Seksyen 28 Enakmen Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995, berkaitan dengan perkara yang termasuk dalam senarai Persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan, di bawah kuasa Parlimen.

Menurut Mahkamah Persekutuan, Seksyen 28 digubal bertentangan dengan item 1 Senarai Negeri yang menetapkan bahawa badan perundangan negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan.

Tiada ulasan: