Bernama
Prof
Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam menegaskan apa sahaja vaksin yang
diluluskan oleh NPRA, adalah selamat digunakan di negara ini. - Foto
fail/REUTERS
KUALA LUMPUR:
Menganalisis data untuk memilih vaksin COVID-19 yang terbaik dan tepat
buat rakyat Malaysia sangat penting untuk memastikan rakyat yakin
terhadap keselamatan dan keberkesanan vaksin.
Atas
sebab itu, Penasihat Sains kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi
(MOSTI) Prof Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam menegaskan apa sahaja vaksin
yang diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), agensi
yang bertanggungjawab meluluskan vaksin, adalah selamat digunakan di
negara ini.
"Orang
ramai perlu tahu ia adalah lebih rumit (untuk memahami keberkesanan
vaksin) daripada hanya (melihat) kepada angka. Inilah sebabnya mengapa
NPRA akan menganalisis semua data klinikal, dengan protokol yang berbeza
dan akan memutuskan adakah vaksin itu selamat dan berkesan untuk
digunakan di Malaysia.
"NPRA bekerja
siang dan malam menganalisis semua data ini. Ini bukan proses yang
mudah, jadi kita harus memberi mereka masa untuk memastikan bahawa apa
sahaja (vaksin) yang mereka luluskan adalah vaksin terbaik untuk kita.
Pada masa ini, NPRA telah memberikan persetujuan bersyarat kepada vaksin
Pfizer. Sekiranya mereka meluluskan vaksin lain dan saya ditawarkan
untuk mengambil vaksin, saya dengan senang hati melakukannya," katanya
kepada Bernama.
Dr
Mohd Ghows berkata disebabkan pandemik COVID-19, teknologi RNA (mRNA)
messenger, yang telah wujud beberapa tahun yang lepas, kini digunakan
untuk pembangunan vaksin dan telah terbukti selamat dan berkesan.
Merujuk
kepada vaksin Pfizer dan Moderna yang telah menggunakan teknologi mRNA
dan mencapai kadar keberkesanan yang tinggi pada tahap lebih daripada 95
peratus, beliau berkata teknologi itu jauh lebih mudah dan cepat untuk
dibuat (turutan), sambil menambah bahawa bagi jangka masa panjang,
vaksin itu juga berkemungkinan lebih murah untuk dihasilkan melalui
kaedah mRNA.
"Satu perkara yang
sebenarnya telah dilakukan COVID-19 ini adalah, ia merevolusikan
teknologi mRNA kerana sebelum ini masyarakat meragui mRNA, namun
beberapa vaksin pertama yang dikeluarkan adalah daripada vaksin mRNA,
yang telah menunjukkan keberkesanan yang sangat tinggi iaitu Pfizer dan
Moderna.
"Sebagai contoh, vaksin baharu
mRNA dapat dihasilkan dalam masa kira-kira enam minggu. Begitulah
cepatnya kita dapat mengubah turutan mRNA mengikut kepelbagaian varian.
mRNA bersifat sintetik, jadi kita boleh menganalisis turutan dan membuat
yang baharu berdasarkan varian yang kita mahukan.
Selepas COVID-19,
banyak vaksin yang akan menggunakan mRNA kerana ia cepat, murah dan juga
sangat selamat. Itu adalah kriteria utamanya," katanya.
Sementara
itu, Dr Mohd Ghows menasihati orang ramai untuk sentiasa mencari sumber
yang tepat dan memeriksa fakta yang berkaitan dengan sebarang maklumat
mengenai vaksin COVID-19 seperti laman web Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) dan akaun media sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses
Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV).
Berdasarkan
statistik, beliau berkata terdapat 138 juta dos vaksin yang telah
diberikan di lebih 70 negara di seluruh dunia, tanpa sebarang laporan
kematian yang dikaitkan secara langsung dengan vaksin COVID-19.
Beliau
bagaimanapun berkata terdapat individu yang mengalami reaksi alahan
setelah divaksinasi, dengan jumlah kes yang rendah dilaporkan.
"Jadi,
bagi mereka yang mengalami alahan teruk, mereka harus memberitahu
doktor mengenainya. Untuk mengatasi masalah ini, kerana kami tahu
terdapat individu yang mempunyai reaksi alahan terhadap vaksin, maka
setelah anda mendapat vaksin anda harus menunggu antara 15 hingga 30
minit sebelum pulang, kerana kita mahu doktor memantau sebarang reaksi,
(bagaimanapun) kesnya sangat rendah.
"Saya
belum pernah mendengar orang berubah menjadi 'zombie' atau mereka
tumbuh sepasang sayap setelah diberi vaksin. Tidak ada bukti bahawa
kematian itu secara langsung disebabkan vaksin COVID-19," katanya sambil
menambah bahawa mendapatkan vaksin sangat penting untuk melindungi
bukan hanya seorang individu, tetapi masyarakat secara keseluruhan.
"Semakin
lama pandemik COVID-19 berlarutan, semakin banyak jenis virus akan
wujud kerana ia secara semula jadinya akan bermutasi," katanya.
"Kita
perlu menggunakan vaksin untuk melindungi masyarakat sebaik mungkin.
Inilah sebabnya mengapa slogan kami adalah 'lindungi diri, lindungi
semua'. Jika anda ditawarkan vaksin, sila ambil. Ia bukan hanya untuk
melindungi anda, tetapi juga melindungi semua orang.
"Orang
ramai perlu mendapatkan fakta yang sebenar. Contohnya, dapatkan
maklumat tepat dengan melayari laman web KKM untuk melihat fakta
terkini. Jauhi kumpulan anti vaksin atau mereka yang menghasut bertujuan
menakut-nakutkan mengenai virus dan vaksin," katanya.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan