Rabu, 10 Februari 2021

Kami ‘terumbang-ambing’, tolong batal SPM, rayu pelajar tingkatan 5

Calon SPM berkata mereka menghadapi masalah belajar dalam talian 
memandangkan tiada komunikasi secara langsung dengan guru. (Gambar 
Bernama)

PETALING JAYA: Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merayu kerajaan membatalkan peperiksaan itu, menyatakan kaedah pembelajaran norma baharu mengakibatkan kualiti pembelajaran merosot.

Ia sekali gus menjejaskan persiapan mereka menjelang peperiksaan yang dijadualkan pada 22 Feb ini selepas beberapa kali ditunda.

Pada Jun tahun lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan penangguhan SPM 2020 ke 9 Jan, sebelum ia ditukar ke tarikh baharu susulan peningkatan kes Covid-19.

Seorang calon SPM dari Ipoh hanya mahu dikenali sebagai Chan memberitahu FMT, berdasarkan situasi semasa beliau berpendapat peperiksaan itu tidak mungkin dapat dilaksanakan dan perlu dibatalkan.

Katanya, segelintir guru di sekolahnya hilang motivasi untuk mengajar dan meninggalkan pelajar dalam keadaan terumbang-ambing mempersiapkan diri menghadapi peperiksaan besar itu.

Chan berpandangan, dengan lebih banyak masa di rumah guru seharusnya lebih bersedia untuk mengajar namun realitinya tidak begitu.

Malah, ada antara mereka tidak mengikuti jadual pembelajaran yang sudah ditetapkan sebelumnya.

“Saya ada tiga orang guru. Masing-masing mengajar bahasa Melayu, sejarah dan kimia. Mereka sering membatalkan kelas dan membiarkan kami belajar sendiri,” katanya.

Chan mencadangkan, sistem gred dilaksanakan mengikut penilaian guru, sama seperti kaedah dilaksanakan di sekolah di United Kingdom, apabila Sijil Umum Pendidikan Menengah (GCSE) dibatalkan.

Nurul Rifayah dari Selangor, bersetuju peperiksaan SPM dibatalkan. Beliau turut merasakan guru tidak memberikan sepenuh komitmen bagi mempersiapkan calon SPM tahun ini.

“Ada guru yang batalkan kelas. Ada juga murid tidak ada akses internet atau kemudahan digital lain. Sebahagian guru juga tidak begitu arif untuk menggunakan PowerPoint, Zoom dan peralatan dalam talian. Ini secara tidak langsung menjejaskan kualiti pembelajaran sekali gus mengakibatkan prestasi murid merosot,” katanya.

Katanya, pandemik ini adalah pengalaman yang benar-benar membuka mata dan memberi peluang untuk menambah baik sistem pendidikan ketika ini dan pasca Covid- 19.

“Saya berpendapat sistem penilaian oleh guru sebagai satu kaedah terbaik buat masa ini. Nilai prestasi kami dari tingkatan satu hingga sekarang. Lakukan temuduga terhadap pelajar dan juga guru untuk menilai kemahiran selain kemampuan kami dari segi akademik,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi calon SPM dari Ipoh Eva Ray Siew tidak bersetuju dengan cadangan itu.

Katanya, dia “penat” dengan ketidaktentuan ini dan berharap SPM dapat diadakan segera supaya boleh meneruskan rancangan lain.

“Saya harap mereka tak batalkan atau tangguh lagi. Saya cuma mahu semua ini berakhir segera.

“Tarikh peperiksaan sudah berkali-kali ditangguhkan. Kami tertekan dan tertanya-tanya bila sebenarnya tarikh untuk kami menduduki peperiksaan? Adakah esok atau beberapa bulan lagi? Kegelisahan semakin memuncak dan ini benar-benar meletihkan,” katanya.

Dia turut menghadapi masalah belajar secara dalam talian memandangkan tiada komunikasi secara langsung dengan guru.

Malah, katanya sebahagian guru juga tidak menawarkan bantuan kepada pelajar di luar waktu kelas.

“Kita sudah begitu hampir dengan tarikh itu (peperiksaan). Tapi dengan segala hormatnya, saya terpaksa nyatakan ini kerana kerajaan berkali-kali membuat pengumuman penting di saat akhir. Lebih baik teruskan saja,” katanya.

Tiada ulasan: