Isnin, 1 Februari 2021

Geng pecah rumah ditangkap, dibelasah orang awam

Oleh ROHANA MOHD. NAWI
SUSPEK kes pecah rumah dibelasah orang awam di Kampung Sungai Gali, Bachok, Kelantan semalam. - MEDIA SOSIAL

BACHOK: Tiga penjenayah kempunan merasai hasil curi yang disorok di kawasan semak di Kampung Sungai Gali, Beris Lalang di sini apabila salah seorang daripada mereka berjaya ditangkap dan dibelasah orang awam malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.15 malam, suspek berusia 45 tahun ditahan oleh mangsa curi sendiri, seorang lelaki berusia 51 tahun manakala dua lagi rakannya sempat melarikan diri dengan menggunakan kenderaan jenis Perodua Kembara.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintenden Mohd. Yusrizal Mohd. Ghazali berkata, tiga penjenayah itu datang kembali ke kawasan itu untuk mengambil hasil curi yang disorok dalam semak berhampiran rumah mangsa yang dipecah pada sebelah petang.

Katanya, ketiga-tiga suspek dipercayai memecah masuk rumah mangsa dan melarikan televisyen, gitar, satu tong minyak petrol, dua parang serta sebilah pedang samurai dianggarkan bernilai RM2,500.

“Dengan bantuan saudaranya, mangsa mencari barang-barang tersebut dan berjaya menemukannya kembali dalam semak.

“Mangsa menyedari kehadiran suspek ke kawasan itu untuk mengambil hasil curi mereka dengan menaiki Perodua Kembara dan berjaya menangkap salah seorang daripada mereka,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Mohd. Yusrizal, susulan daripada kejadian itu, berlaku pergelutan antara mangsa dan ketiga-tiga suspek sebelum dua daripada mereka berjaya melarikan diri.

“Siasatan mendapati suspek berasal dari Semerak, Cherang Ruku di sini. Lelaki itu ditahan reman bermula hari ini hingga 4 Februari untuk siasatan lanjut.

“Susulan daripada kejadian ini, saya ingin menasihatkan kepada orang ramai agar tidak bertindak sendirian sehingga boleh mendatangkan kecederaan kepada suspek dan serahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah. – UTUSAN

Tiada ulasan: