Isnin, 1 Februari 2021

Menyorok dalam lori untuk rentas negeri

Oleh NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
LELAKI warga India yang bersembunyi di bahagian muatan sebuah lori untuk merentas masuk ke negeri ini ditahan polis dalam sekatan jalan raya (SJR) di Paya Berenjut di Kemaman, hari ini.

KEMAMAN: Seorang lelaki warga India sanggup menyorok di sebalik timbunan kotak pakaian terpakai dalam sebuah lori semata-mata untuk merentas masuk ke negeri ini.

Bagaimanapun, taktik warga asing berusia 40-an itu terbongkar apabila dia ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di pintu sempadan Terengganu-Pahang di Paya Berenjut di sini kira-kira pukul 1 pagi ini.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, lori dinaiki lelaki dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) itu ditahan selepas pihaknya curiga dengan surat kebenaran merentas negeri yang dikemukakan pemandu kenderaan tersebut kerana menggunakan nama individu lain.

Katanya, pemeriksaan lanjut pada bahagian muatan lori dipandu warga tempatan berusia dalam lingkungan 40-an itu berjaya menemukan warga India tersebut yang bersembunyi di sebalik kotak.

“Kedua-kedua lelaki itu memaklumkan mereka dalam perjalanan ke daerah ini dari Selangor untuk menghantar pakaian ‘bundle’ dan mendakwa telah melepasi empat SJR sebelum ini.

“Pemandu itu turut mendakwa warga asing tersebut menggantikan kelindannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hanyan berkata, pemandu lori itu dikompaun sebanyak RM1,000 berikutan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala warga asing berkenaan direman selama 14 hari bagi siasatan lanjut.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: