Isnin, 1 Februari 2021

Agih sumbangan secara pandu lalu

Oleh ASLIZA MUSA
NORIAH Yahya menyerahkan sumbangan kotak makanan kepada penerima secara pandu lalu di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA

IPOH: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan Covid-19 tidak menghalang Kelab Ikon Wanita Malaysia (KIWM) untuk terus menyalurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan.

Malah, KIWM menggunakan pendekatan pandu lalu bagi menyalurkan bantuan berupa kotak makanan kepada penerima termasuk ibu tunggal, golongan orang kurang upaya (OKU) dan asnaf.

Pengerusi KIWM Perak, Noriah Yahya berkata, pendekatan itu diambil pihaknya memandangkan banyak permintaan untuk bantuan daripada orang ramai sedangkan pergerakan sedikit terbatas ekoran PKP.

Katanya, menerusi kaedah itu, penerima atau wakil hanya perlu mendaftar dan memeriksa suhu sebelum mengambil bantuan kotak makanan berkenaan.

“Sebelum ini kita memang menghantar bantuan dari rumah ke rumah untuk ibu tunggal, golongan asnaf dan OKU di sekitar Ipoh namun sekarang agak terhad kerana kita berada dalam tempoh PKP.

“Kita menerima banyak permohonan untuk mendapatkan bantuan, jadi inisiatif mengagihkan bantuan kotak makanan secara pandu lalu ini diambil bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKP ditetapkan kerajaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Noriah, pendekatan agihan secara pandu lalu dengan kerjasama Persatuan Urutan Tradisional Melayu Wanita Kinta Perak itu membantu pihaknya mengelakkan aktiviti secara berkumpulan.

Katanya, program tersebut akan diadakan secara bulanan agar golongan yang kurang berkemampuan dapat disantuni dengan sewajarnya.

“Kira-kira 20 penerima atau wakilnya hadir untuk mengambil kotak bantuan makanan tersebut yang diagihkan bermula pukul 10 pagi dan berakhir sejam kemudian,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sedang berusaha untuk menjalankan kursus kemahiran terutama berkaitan urutan kepada ibu tunggal, golongan asnaf dan wanita yang kehilangan pekerjaan akibat PKP selepas dibenarkan pihak kerajaan

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkan bantuan menerusi akaun Bank Islam Persatuan Urutan Tradisional Melayu Wanita Kinta Perak 0801 3010 0951 78 atau hubungi Noriah di talian 011-1146 5925. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: