KUALA KRAI: Kebenaran untuk mengikuti pembelajaran secara bersemuka melegakan Nur Ain Natasha Ramzam,19, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krai yang bakal menduduki Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) tidak lama lagi.
Ini kerana dia tidak lagi perlu menunggang motosikal jauh ke dalam ladang kelapa sawit sebelum mendaki Bukit Ulu Manah di sini untuk mendapatkan capaian internet sebagaimana pernah dilaporkan akhbar iini bulan lalu.
Nur Ain Natasha berkata, dia kini semakin bersemangat hadir ke sekolah setiap hari untuk ‘menggali’ seberapa banyak ilmu sebelum menduduki peperiksaan STPM tidak lama lagi.
“Pembelajaran bersemuka ini memberikan kelebihan kepada kami untuk lebih memahami apa yang diajarkan oleh guru.
“Selain itu, saya boleh bertanya secara terus kepada guru jika tidak memahami satu-satu topik yang diajarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Akhbar ini 7 Disember lalu melaporkan, Nur Ain Natasha dan adiknya Nur Fatin Nadihah 18, sanggup menunggang motosikal selama 15 minit menyelusuri ladang kelapa sawit dan seterusnya mendaki Bukit Ulu Manah bagi mendapatkan capaian internet demi mengikuti kelas secara online.
Tindakan itu terpaksa diambil oleh dua beradik tersebut bagi memastikan mereka tidak ketinggalan untuk mengikuti kelas secara dalam talian susulan pandemik Covid-19.
Mengulas lanjut, Nur Ain Natasha memberitahu, dia nekad memberikan tumpuan kepada setiap mata pelajaran yang di ajar oleh guru.
Katanya, hal ini bagi memastikan dia memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM bagi mengubah masa depan keluarga. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan