PADANG BESAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) mengenal pasti tiga hingga empat lorong tikus dipercayai digunakan penyeludup ketum ke negara jiran berhampiran kawasan kejadian tembakan yang mengorbankan anggota PGA, baru-baru ini iaitu kira-kira 600 meter dari Tembok Sempadan (TS9), di sini.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, pihaknya membuat penggeledahan di laluan tersebut dan mendapati terdapat jejak lama iaitu kesan tayar kereta serta motosikal.
Katanya, pemeriksaan juga mendapati lorong tersebut menjadi laluan aktiviti seludup ketum dan digunakan kerana akses mudah dari jalan raya menuju ke jalan keselamatan.
“Jarak lorong tikus tersebut antara dua hingga tiga kilometer dari lokasi kejadian. Lorong-lorong ini adalah jalan lama dan sudah tidak aktif buat masa ini.
“Bagaimanapun, kami ada menempatkan anggota-anggota untuk membuat pemerhatian di kawasan tersebut kerana penyeludup dipercayai menggunakan laluan itu semula bila mereka ingat kami leka,” katanya kepada pemberita di Pos PB 11, di sini, semalam.
Sementara itu, Abdul Ghani memberitahu, Batalion 18 PGA bersama Skuadron Perisai 1 dan Skuadron Perisai 3 Briged Utara merampas sebanyak 5,923 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM177,690 serta menangkap 12 individu termasuk tiga warga Thailand dan satu warga Myammar dari tempoh 2 Januari hingga semalam.
Menurutnya, enam daripada kes tersebut adalah Op Bersepadu Benteng Covid Kawalan Sempadan Darat Malaysia diketuai Ketua Polis Daerah Kangar, Superintenden Wari Kiew serta melibatkan agensi lain iaitu Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Jelasnya, kejayaan tersebut melibatkan 17 kes di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1953, tiga kes di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan satu kes di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1953.
“Kita dapat melihat penurunan kes dengan hanya 21 kes dalam tempoh sebulan berbanding rampasan yang dibuat sebelum berlakunya kes tembakan dahulu, iaitu kira-kira 44 kes pada Oktober tahun lalu.
“Kami juga mendapati kegiatan penyeludupan beralih ke jalan laut ekoran kawalan yang ketat di sempadan negara. Oleh itu, kami meminta dibekalkan bot-bot kepada PPM yang sama-sama membuat kawalan untuk membanteras kegiatan ini.
“Penurunan kes juga dipercayai kerana ramai individu yang disyaki menyeludup ketum ditahan polis bagi membantu siasatan kes tembakan anggota PGA tahun lalu. Sekarang kami tengok mereka dah mula nak aktif semula,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan