SHAH ALAM: Tindakan seorang individu melakukan perbuatan menjual barangan tiruan dan melakukan aktiviti cetak rompak di pasaran dengan berselindung di sebalik rumah kawasan elit dua tingkat tumpas apabila dia ditahan di kediaman itu di Bandar Rimbayu, Kota Kemuning di sini pagi tadi.
Malah, perbuatan lelaki berusia 30 tahun itu mampu meraih keuntungan kira-kira RM50,000 hingga RM80,000 sebulan.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya melakukan serbuan kira-kira pukul 11 pagi itu di sebuah kediaman eksklusif dua tingkat yang lengkap berpengawal menerusi Op Tiru.
“Hasil serbuan telah menemukan kira-kira 3,000 helai baju pelbagai jenama antaranya Adidas, Nike, Louis Vuitton, Puma dan Chanel dianggarkan bernilai RM60,000.
“Siasatan mendapati lelaki ini menggunakan suatu cap dagangan berdaftar yang dipakaikan secara salah ke atas barangan tersebut.
“Malah, pemeriksaan mendapati lelaki ini menjadikan premis ini sebagai stor simpanan dan pusat operasi jualan secara atas talian sejak setahun yang lalu ,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Muhamad Zikril Azan berkata, siasatan juga mendapati individu lelaki ditahan itu melakukan perbuatan itu bersama isterinya merupakan warga Vietnam.
Katanya, lelaki terbabit menyewa premis itu dengan harga RM1,800 sebulan semata-mata dengan menjadikan kawasan itu sebagai markas operasi.
“Lelaki ini juga mengaku semua barangan ini miliknya dan menjualnya menerusi laman sosial Facebook yang mempunyai 30,000 pengikut. Lelaki ini juga menjual baju tersebut pada harga antara RM6 hingga RM20 mengikut gred dan kualitinya.
“Barangan ini di import masuk dari Vietnam melalui penghantaran kurier terus ke rumah tersebut,” ujarnya.
Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah di bawah seksyen 100.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, KPDNHEP Selangor telah menjalankan pemeriksaan terhadap 44 premis yang disyaki berurus niaga barangan tiruan dan cetak rompak sepanjang Januari tahun ini.
“Daripada jumlah bilangan premis yang diperiksa, sebanyak dua kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan terkumpul adalah lebih RM1.5 juta. Antara barangan yang disita termasuklah pakaian, beg tangan, dompet, jam tangan, kasut, aksesori telefon serta barangan aksesori wanita.
“Ini merupakan kes ketiga bagi tahun ini dan pemilik barangan berkenaan ditahan bagi diambil keterangan dan dilepaskan dengan jaminan polis,” katanya. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan