Isnin, 22 Februari 2021

Bentong berpotensi bandar raya kedua di Pahang

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
ZURAIDAH Kamaruddin (tengah) dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Maran, Pahang semalam.

MARAN: Bandar Bentong berpotensi untuk diangkat menjadi taraf bandar raya kedua di negeri ini berikutan mempunyai kriteria yang ditetapkan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraidah Kamaruddin berkata, Majlis Perbandaran Bentong mempunyai penduduk hampir 500,000 orang dan berpendapatan RM100 juta setahun.

Katanya, kementerian menunggu permohonan Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang pada Jun ini untuk dibawa pertimbangan Kabinet.

“Pada dasarnya tiada masalah kewujudan bandar raya Bentong dalam tempoh setahun dua ini kerana pihak kementerian sangat komited menyokong.

“Kementerian juga sentiasa komited mengangkat Cameron Highlands sebagai Majlis Perbandaran Cameron Highlands sesuai dengan lokasi tumpuan utama pelancong di negara ini,” katanya kepada pemberita dalam lawatan kerja di Maran hari ini.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd. Muttalib; Exco Kerajaan Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Mohd. Sofian Abd.Jalil dan Pegawai Daerah Maran, Sharudin Jali.

Zuraidah juga merakamkan tahniah kepada Kuantan dinaik taraf sebagai bandar raya selari dengan kemajuan ekonomi negeri berkenaan.

Beliau dalam pada itu berkata, lokasi lain dicadang diangkat menjadi Majlis Perbandaran ialah Pulau Tioman, Pulau Pangkor dan Langkawi.

Menurutnya, lokasi pelancongan utama negara menjana pendapatan lebih RM20 juta setahun dan kebanjiran pelancong pemangkin ekonomi di situ.

Tambah beliau, pihak kementerian juga menyasarkan Majlis Daerah Pekan dan Majlis Daerah Maran dinaik taraf Majlis Perbandaran pada 2022.

Pada lawatan kerja itu, beliau mengumumkan kelulusan RM7 juta kepada Majlis Daerah Maran bagi membaiki kesan banjir, pengurusan sisa pepejal dan menaik taraf lokasi pelancongan di daerah berkenaan.

Turut diluluskan 350 projek perumahan rakyat di Lanchang dan pembinaan tiga balai bomba di Chenor, Benta dan Gambang bernilai RM4 juta sebuah. UTUSAN

Tiada ulasan: