Rabu, 3 Februari 2021

Bilangan ditahan ingkar SOP menurun kepada 680 individu

Oleh AMREE AHMAD
ISMAIL SABRI YAAKOB

PUTRAJAYA: Jumlah ditahan semalam berkurangan iaitu 680 orang berbanding 826 individu kelmarin atas pelbagai ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan.

Kesemua diberkas Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 63,595 pemeriksaan dan melibatkan penugasan sejumlah 3,150 pasukan di seluruh negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 630 dikompaun, 49 ditahan reman dan seorang dijamin dengan kes tertinggi ialah merentas kawasan tanpa kebenaran.

“Ia membabitkan 140 individu diikuti tiada pelitup muka (139 kes), tiada jarak fizikal (136 kes), gagal sedia alat merekod butiran (80 kes), premis beroperasi lebih masa (30 kes) dan lain-lain (155 kes),” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Beliau menambah, sejumlah 14,858 anggota semalam memantau 5,721 restoran, 3,866 pasar raya, 3,424 bank, 2,038 pasar awam/tani, 1,385 kilang dan 858 pejabat kerajaan.

Menurut Ismail Sabri, turut dipantau di seluruh negara semalam ialah sebanyak 3,093 rumah ibadah selain 1,403 tempat riadah awam.

Seramai 16 pendatang asing tanpa izin dan dua tekong ditahan melalui Operasi Benteng yang meliputi pelbagai agensi bagi kekang jenayah sempadan dan menyekat penularan Covid-19.

“Enam buah kenderaan darat turut dirampas manakala 537 sekatan jalan raya dibuat selain pengesanan 103 buah bot atau kapal asing dicurigai berdekatan perairan negara,” jelasnya.

Ismail Sabri juga memaklumkan, sejumlah 63 operasi sanitasi awam meliputi 41 zon merah, empat zon jingga, lima zon kuning dan satu zon hijau dibuat di seluruh negara semalam.

Ujar beliau, ia melibatkan 397 anggota bomba, 211 anggota pihak berkuasa tempatan dan 23 lagi dari pelbagai agensi dengan penggunaan sebanyak 50 buah jentera bomba

Menyentuh kuarantin wajib, seramai 800 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya diarahkan menjalani proses itu di sejumlah 28 stesen kuarantin.

“Sejumlah 114,861 individu pulang ke negara ini sejak 24 Julai lalu melalui kuarantin wajib di 78 buah hotel serta 13 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” katanya.

Seramai 477 individu terbabit telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan manakala 106,017 individu lagi sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas kuarantin

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 530 peruncit, 144 pemborong dan 30 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu juga melakukan 1,622 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan enam diberikan nasihat, lapan dikenakan amaran dan tujuh lagi premis dikompaun. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: