Ahad, 7 Februari 2021

3 kontena daging campur aduk dari rumah sembelih tak dilulus kerajaan disita

Tiga kontena daging yang dipercayai diseludup, disita Jabatan Perkhidmatan Kuarantin 
dan Pemeriksaan Malaysia dalam serbuan ke atas sebuah gudang sejuk beku di Puchong 
pada 5 Feb lalu. (Gambar Bernama)

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa menyita tiga kontena daging yang dipercayai diseludup ketika menyerbu sebuah gudang sejuk beku di Puchong, Selangor tiga hari lalu.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dalam kenyataan berkata, serbuan pada 5 Feb itu dijalankan bersama polis dan pihak berkuasa lain.

“Hasil pemeriksaan dan maklumat awal mendapati sumber daging yang ditemui itu bercampur aduk daripada abattoir (rumah sembelih) tidak diluluskan kerajaan.”

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 11 serta Seksyen 15 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit, lesen atau perakuan adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya menurut Seksyen 11(3) akta sama.”

Jabatan itu turut memberi jaminan akan sentiasa memperkemas kerjasama strategik dengan agensi lain bagi memastikan kawalan import komoditi pertanian, khususnya daging dapat diperkukuhkan lagi.

Maqis komited dalam memastikan isu melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit serta risiko kemasukan perosak berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dibendung serta dikawal.

Tiada ulasan: