Ahad, 7 Februari 2021

UMT inovasikan roti lebah bahan utama bar tenaga

HARAKAH DAILY

KUALA NERUS: Roti lebah daripada lebah kelulut yang sering kali dibuang, kini diinovasikan menjadi bahan utama dalam penghasilan bar tenaga segera melalui hasil kajian seorang penyelidik Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Produk Bee Ready Energy Bar itu diilhamkan pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin UMT, Prof Madya Dr Wan Iryani Wan Ismail setelah menjalankan penyelidikan selama lima tahun sejak 2016.

“Ketika melakukan kerja penyelidikan di lapangan, saya dapati roti lebah tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh penternak dan ada sesetengahnya dibuang begitu sahaja.

“Masyarakat hanya tertumpu kepada madu dan propolis kerana tidak mengetahui bahawa roti lebah itu mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan manusia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran produk itu dan penyerahan lesen hak cipta intelek antara UMT dan Bayu Gagah Marketing Sdn Bhd yang diadakan secara dalam talian, di sini hari ini.

Wan Iryani berkata, beliau memperoleh geran bernilai RM120,000 untuk menjalankan kajian mengenai roti lebah dan mendapati bahan itu mempunyai kandungan antioksida yang tinggi dan sesuai untuk dijadikan sebagai makanan segera.

“Saya harap hasil kajian ini dapat meningkatkan nilai komersial roti lebah kelulut dan seterusnya menjana pendapatan golongan penternak di Malaysia,” katanya.

Ditanya mengenai keistimewaan Bee Ready Energy Bar, Wan Iryani berkata formulasi bar rekaannya itu pertama di dunia yang menggunakan roti lebah sebagai bahan utama.

“Selain itu, ia lebih berkhasiat, tanpa gula, pengawet dan pewarna tiruan, kaya dengan protein, vitamin, mineral, asid amino dan karbohidrat. Malah, dapat menghasilkan tenaga dua kali ganda berbanding produk lain di pasaran,” katanya.

Wan Iryani yang juga Ketua Projek Jawatankuasa Penyediaan Pelan Pembangunan Industri Kelulut Negara 2020-2030 berkata bar tenaga itu juga sesuai untuk individu yang mempunyai jadual kerja yang padat seperti pelajar, atlet atau individu yang suka melakukan aktiviti sukan lasak termasuk berbasikal dan mendaki gunung.

“Ia juga sesuai dijadikan makanan untuk petugas barisan hadapan ketika menjalankan tugas menghadapi wabak Covid-19 dan untuk mangsa bencana yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara,” katanya menambah bar berkenaan membekalkan nutrisi dan tenaga yang diperlukan sepanjang hari. BERNAMA

Tiada ulasan: