KOTA BHARU: Pasangan suami isteri Orang Asli yang menghilangkan diri daripada menjalani ujian saringan Covid-19 di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai pada 4 Feb lalu, ditemui semalam.
Ketua Polis Kelantan, Shafien Mamat berkata, pasangan itu ditemui selepas anggota di Balai Polis Laloh menerima maklumat daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mengenai pasangan berkenaan kira-kira 5.30 petang.
Beliau berkata, selepas maklumat itu, sepasukan anggota berjaya mengesan dan menemui pasangan terbabit di sebuah pondok sekitar Sungai Sam, Gua Musang.
“Pasangan Orang Asli itu beri kerjasama baik kepada polis dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke HSIP bagi menjalani ujian saringan Covid-19, seterusnya menjalani kuarantin sehingga keputusan diperoleh,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Bernama melaporkan pasangan suami isteri Orang Asli yang berasal dari Pos Tohoi, Gua Musang itu bertindak menghilangkan diri ketika ujian saringan Covid-19 hendak dilakukan ke atas mereka Khamis lepas.
Difahamkan, ujian saringan itu perlu dijalankan selepas anak perempuan mereka yang berusia 25 hari disahkan positif Covid-19.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan