Sabtu, 20 Februari 2021

10,924 polis Kontinjen Perak bakal terima vaksin

Oleh ASLIZA MUSA
MIOR FARIDALATHRASH WAHID

IPOH: Seramai 10,924 pegawai dan anggota polis Kontinjen Perak bakal menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama yang membabitkan petugas barisan hadapan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suntikan yang diterima dalam masa terdekat itu membabitkan warga polis daripada semua formasi yang berkhidmat di negeri ini.

“Keprihatinan kerajaan menjadikan kami sebagai keutamaan dalam program vaksinasi itu secara tidak langsung telah menaikkan motivasi dan keyakinan diri petugas barisan hadapan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Saya mewakili seluruh warga barisan hadapan PDRM Perak menzahirkan ucapan ribuan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dan negeri atas keprihatinan tersebut,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan beliau berkata, sebanyak 1,745 kompaun dikeluarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 22 Januari lalu hingga semalam.

Katanya, empat lokasi di negeri ini juga masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu di Penjara Taiping, Kampung Teluk Air Tawar Sitiawan, Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Batu Gajah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Idris Shah II di Gerik.

“Sebanyak 53 sekatan jalan raya dilaksanakan di sempadan negeri dan daerah dengan kekuatan 370 pasukan pemantau SOP melibatkan 1,635 petugas PDRM dan 815 petugas lain.

“Berdasarkan pemerhatian, kadar pematuhan penduduk di negeri ini adalah sebanyak 96 peratus sepanjang PKP 2.0 dijalankan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: