Sabtu, 20 Februari 2021

Melaka rayu MKN benarkan rentas daerah

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
MUHAMMAD JAILANI Khamis ketika sidang akhbar di pejabat BPP Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

MELAKA: Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu memberi kelonggaran kepada penduduk di negeri ini merentas daerah bagi memulihkan sektor pelancongan memandangkan ia adalah nadi utama ekonomi Melaka.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan dan Pergerakan (PKP), sektor itu terus mengalami pengucupan ekoran terpaksa bergantung kepada sumbangan kecil penduduk di setiap daerah.

Beliau berkata, justeru pihaknya berharap agar MKN dapat mempertimbangkan perkara tersebut, apatah lagi sektor pelancongan merupakan penyumbang besar iaitu kira-kira 48 peratus pendapatan negeri.

“Negeri ini adalah negeri kedua terkecil selepas Perlis dan hanya mempunyai tiga daerah sahaja, jadi kita menghadapi kesukaran untuk memulihkan ekonomi dengan hanya bergantung kepada penduduk di setiap daerah.

“Sehubungan itu, kita berharap pihak MKN dapat memberi kelonggaran kepada penduduk negeri ini untuk merentas daerah bagi ‘menghidupkan’ semula ekonomi negeri menerusi industri pelancongan yang kini dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan dan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar khas di pejabat Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar BPP Melaka, Sha’ari Basiron.

Tambah Muhammad Jailani, dengan kelonggaran tersebut, kerajaan negeri juga dapat mengaktifkan semula Kempen Orang Melaka Melawat Melaka (Melakan Visit Melaka) 3.0 yang berpotensi menggalakkan penduduk tempatan melawat lokasi-lokasi pelancongan.

“Saya percaya orang Melaka mampu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan memandangkan pada PKP lalu Melaka jatuh di tangga ketiga kadar pematuhan SOP tertinggi dengan 98 peratus,” ujarnya.

Beliau turut meminta semua pengusaha pelancongan agar terus memantau dan memastikan pengunjung sentiasa mematuhi SOP ditetapkan bagi memastikan tiada lagi sekatan terhadap sektor terbabit pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, kerajaan negeri telah mencadangkan kepada kerajaan Persekutuan agar pemain industri pelancongan diberi keutamaan sebagai penerima vaksin Covid-19 dalam fasa kedua.

Jelasnya, perkara itu dilihat wajar bagi memulihkan keyakinan para pengunjung ke negeri pelancongan ini, sekali gus merancakkan kembali sektor yang paling terkesan itu. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: