Rabu, 13 Januari 2021

Warga emas maut kereta terbabas dalam banjir

 Oleh MASTURA SURADI

KOTA TINGGI: Seorang warga emas maut selepas kenderaan dinaiki terbabas masuk ke kawasan banjir di bahu jalan dalam kejadian kemalangan yang berlaku berhampiran Dusun Panti Jalan Kota Tinggi-Mersing, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Azman Jantan berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira pukul 4 petang.

Kata beliau, sebanyak tiga kenderaan termasuk sebuah jentera dan sebuah bot aluminium dengan kekuatan 13 anggota dihantar ke lokasi kejadian.

“Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta jenis Toyota Camry yang terbabas dan menyebabkan kereta tersebut masuk ke dalam air banjir di bahu jalan.

“Pasukan operasi bertindak menarik kereta mangsa ke kawasan selamat dibantu oleh orang awam dan mendapati terdapat seorang mangsa terperangkap di dalam kereta tersebut.

“Mangsa dikenali sebagai Pong Song Wook, 64, berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia oleh pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Azman, punca kematian masih dalam siasatan dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: