Rabu, 13 Januari 2021

Operasi media dibenarkan kecuali penyiaran berbentuk hiburan

Oleh MOHD HUSNI MOHD NOOR

PUTRAJAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia menetapkan operasi organisasi media bagi tujuan produksi program, berita, rencana dan kandungan tempatan untuk penyampaian maklumat dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagaimanapun, operasi media yang berbentuk penyiaran lain seperti hiburan tidak dibenarkan sepanjang tempoh berkenaan.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, operasi media di negeri yang terbabit dalam PKPB dan PKPP boleh meneruskan perkhidmatan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata, petugas media yang juga antara barisan hadapan ketika negara berhadapan dengan situasi sukar ini diingatkan untuk terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Petugas media juga diingatkan supaya melindungi diri serta menjaga keselamatan keluarga dan komuniti daripada ancaman Covid-19 sepanjang menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, maklumat lanjut tentang SOP sektor komunikasi (termasuk telekomunikasi dan internet, penyiaran, serta pos dan kurier), teknologi maklumat, e-dagang dan industri kreatif boleh didapati di laman sesawang www.kkmm.gov.my.

Saifuddin berkata, sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Hotline Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia di talian 03-89115351 (8 pagi hingga 10 malam).

“Kita masih berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang memerlukan tindakan segera kerajaan dan rakyat untuk bersama-sama memutuskan penularannya,” katanya.

Bermula esok sehingga 26 Januari ini, PKP akan dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan selain Selangor, Pulau Pinang, Johor, Melaka dan Sabah.

Selain itu, PKP Bersyarat (PKPB) akan dilaksanakan di negeri Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, serta PKP Pemulihan (PKPP) di Perlis dan Sarawak. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: