Jumaat, 15 Januari 2021

Tahap rasuah, salah guna kuasa kakitangan awam ‘membimbangkan’, kata SPRM

 MT Reporters

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mahu penjawat awam “membuka mata dan 
telinga” dan menjadi pemberi maklumat kepada SPRM untuk membanteras 
rasuah dalam kerajaan. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Tahap rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan kakitangan awam membimbangkan, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki berkata, SPRM sedia maklum ramai kakitangan kerajaan terpalit isu rasuah dan salah guna kuasa berdasarkan rekod dalam tempoh beberapa tahun ini.

“Perkara itu amat membimbangkan dan sudah tiba masanya semua pihak khususnya penjawat awam bekerjasama dengan SPRM,” katanya.

Beliau mahukan penjawat awam “membuka mata dan telinga” dan menjadi pemberi maklumat kepada SPRM untuk membanteras rasuah dalam kerajaan.

Mereka perlu tampil melaporkan kegiatan rasuah di jabatan masing-masing supaya isu ketirisan dan salah guna kuasa dapat ditangani demi kepentingan semua.

“Sekiranya mereka kurang yakin untuk menjadi pengadu, mereka boleh memilih untuk menjadi pemberi maklumat dan dilindungi bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 sekiranya dikenakan tindakan tidak wajar oleh ketua jabatan atau pegawai kanan susulan pendedahan yang dibuat kepada SPRM,” katanya.

Menurut beliau, isu integriti dan salah guna kuasa tidak boleh dipandang remeh, sebaliknya perlu diberi perhatian serius kerana usaha untuk membaiki budaya negatif dalam sektor awam mesti dilakukan secara dalaman.

Beliau mengulas mengenai amanat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Mohd Khairul Adib Abd Rahman bertajuk “Mendepani Cabaran, Melangkaui Ekspektasi” di Facebook rasmi Jabatan Perkhidmatan Awam, semalam.

Khairul berkata, penjawat awam perlu mengambil tahu tentang perlakuan rasuah di tempat kerja dan mencegah perbuatan rasuah dalam perkhidmatan awam daripada menjadi barah.

Tiada ulasan: