Jumaat, 15 Januari 2021

Jadi kontak rapat timbalan menteri komunikasi dan multimedia, 4 ADUN Perlis kuarantin di rumah

ADUN Santan Azizan Sulaiman, Ruzaini Rais (ADUN Beseri), Asmaiza Ahmad (ADUN 
Chuping) dan Siti Berenee Yahaya (ADUN Mata Ayer) menjalani kuarantin di rumah.

KANGAR: Empat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) Perlis menjalani kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan ujian saringan Covid-19, kata Menteri Besar Azlan Man.

Beliau berkata, empat EXCO itu menghadiri mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Padang Besar pada 3 Jan lalu, turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin yang disahkan positif Covid-19 pada Rabu.

“Empat EXCO itu ialah Azizan Sulaiman Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Santan, Ruzaini Rais (ADUN Beseri), Asmaiza Ahmad (ADUN Chuping) dan Siti Berenee Yahaya (ADUN Mata Ayer),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelepasan Sumbangan Kerajaan Negeri Perlis dalam Misi Bantuan Bencana Banjir Pahang di Kompleks Dewan Undangan Negeri.

“Mereka memang menghadiri mesyuarat itu dan bersama-sama Zahidi, mereka secara sukarela membuat saringan Covid-19 dan keputusaan ujian akan diperoleh dalam masa terdekat sama ada hari ini atau esok,” katanya.

Azlan menasihatkan mana-mana individu termasuk wakil rakyat yang mempunyai hubungan rapat atau kontak dengan Zahidi yang juga Ahli Parlimen Padang Besar segera menghubungi pusat kesihatan terdekat.

“Ia sebagai langkah awal dalam membendung penularan Covid-19 yang pasti memberi risiko besar kepada negeri ini,” katanya.

Tiada ulasan: