Jumaat, 15 Januari 2021

Kerajaan boleh disaman jika langgar hak asasi ketika darurat, kata bekas hakim

Bekas hakim Gopal Sri Ram berkata, kerajaan boleh mengemukakan saman atau 
disaman bagi tindakan ketika darurat.

PETALING JAYA: Tindakan undang-undang boleh diambil terhadap kerajaan ketika darurat jika hak asasi seseorang dilanggar, termasuk untuk mendapatkan pampasan adil bagi hartanah, kata seorang bekas hakim.

Gopal Sri Ram berkata, Perkara 150 (6) Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kekebalan untuk ordinan melanggar hak asasi ketika darurat.

“Undang-undang mesti adil dan saksama,” katanya kepada FMT

Sri Ram berkata, Perkara 69 (2) turut menyatakan Putrajaya boleh memfailkan saman dan boleh juga disaman.

Beliau mengulas Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menetapkan pampasan untuk memperoleh bangunan dan sumber bagi memerangi Covid-19 tidak boleh dicabar di mahkamah atas sebarang alasan.

Ordinan itu turut menyatakan tiada tindakan boleh diambil terhadap kerajaan dan kakitangan awam kerana kecuaian atau keciciran jika dilakukan dengan niat baik.

Sri Ram berkata, Perkara 13 (2) menyatakan tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.

“Mahkamah Persekutuan juga memutuskan hak asasi kita adalah sebahagian daripada struktur asas perlembagaan. Jadi ordinan itu tidak boleh mengatasinya,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga perlu membuktikan tindakan wakilnya dilakukan dengan niat baik.

“Mereka tidak boleh mengambil kesempatan dengan pembelaan ini, sebaliknya mesti membuktikan elemen niat baik untuk membatalkan sesuatu saman,” katanya.

Tiada ulasan: