Ahad, 17 Januari 2021

MMA gesa siasat makmal swasta buat ujian Covid-19 pandu lalu tanpa kelulusan

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan menyiasat makmal swasta yang didakwa melakukan ujian Covid-19 pandu lalu, amalan yang tidak digalakkan mengikut protokol.

Presiden MMA, Dr Subramaniam Muniandy, berkata makmal tidak dikelaskan sebagai kemudahan penjagaan kesihatan swasta dan tidak boleh dibenarkan memberi khidmat pemeriksaan Covid-19 kerana boleh menyumbang kepada masalah logistik.

Subramaniam mengulas laporan FMT sebelum ini, berkenaan seorang wanita bernama Miss Yong dan enam ahli keluarganya belum menerima panggilan dari Kementerian Kesihatan, atau makmal di mana mereka peroleh keputusan ujian, beberapa hari selepas dikatakan positif.

“Menurut Kementerian Kesihatan, ujian Covid-19 oleh sektor swasta hanya dapat dilakukan di klinik perubatan swasta, pusat perawatan ambulatori, atau hospital swasta.

“Berdasarkan laporan media mengenai kes Miss Yong, kita dapat lihat bahawa protokol yang betul dalam menangani kes Covid-19 yang disahkan telah diabaikan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, ini mungkin adalah sebab mengapa pejabat kesihatan daerah tidak mengetahui status kesihatan keluarga orang yang diuji, lalu menyukarkan ambulans diatur untuk membawa mereka mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata menjadi tanggungjawab kemudahan kesihatan swasta untuk melaporkan kes positif kepada pejabat kesihatan daerah dan memastikan setiap aturan bagi membawa pesakit ke hospital, atau untuk pesakit dapat menerima maklumat daripada Kementerian Kesihatan.

Subramaniam mendesak Kementerian Kesihatan menjelaskan mengapa mereka membenarkan makmal melakukan ujian swab kerana kemudahan penjagaan kesihatan swasta harus mendapat kelulusan sebelum melakukan pemeriksaan Covid-19.

“Koordinasi yang lebih baik juga sangat diperlukan antara hospital kerajaan dan pejabat kesihatan daerah kerana kes Covid-19 secara konsisten tinggi dan boleh meningkat lagi,” katanya.

Tiada ulasan: