Khamis, 14 Januari 2021

Premis dobi layan diri boleh operasi, taman awam ditutup – Ismail Sabri

MGF27062020_HUMAN-INTEREST_SANITASI-TAMAN-BOTANI-NEGARA-SHAH-ALAM_07
Aktiviti riadah dan berbasikal di taman awam tidak dibenarkan sepanjang PKP 2.0.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan membenarkan premis dobi layan diri beroperasi mulai hari ini dengan mengenakan syarat ketat, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, antara syarat itu ialah pengusaha dobi berkenaan perlu menyediakan seorang pekerja yang bertindak menjaga dan memantau pelanggan agar mematuhi SOP ditetapkan.

Katanya, premis itu juga perlu disediakan alat pengesan suhu dan pelanggan wajib menjaga penjarakan sosial.

“Kerajaan prihatin dengan rungutan orang ramai untuk menghantar pakaian di dobi kerana tidak dibenarkan beroperasi.

“Bagaimanapun, kita telah memberi kelonggaran itu dengan setiap premis perlu sediakan alat pengesan suhu dan menjaga penjarakan sosial,” katanya pada sidang media mengenai Covid-19, di sini hari ini.

Mengenai taman awam, Ismail Sabri berkata, semua aktiviti riadah dan berbasikal tidak dibenarkan sepanjang PKP ini, melainkan taman di kawasan perumahan dan kejiranan.

“Kita menerima aduan berlaku kesesakan di taman awam ketika PKP dilaksanakan, jadi, kerajaan menegaskan semua taman awam mini ditutup, kecuali taman awam dalam kawasan perumahan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang perseorangan dan badan bukan kerajaan yang hendak menghulurkan bantuan di negeri yang dilanda banjir agar membuat permohonan menerusi Pusat Pengurusan Bencana Negeri atau daerah.

Mengenai lokaliti yang masih dikenakan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan PKP Bersyarat (PKPB) melibatkan satu di Pulau Pinang dan empat di Johor, Ismail Sabri berkata, ada ditamatkan dan ada yang dilanjutkan.

Antara lokaliti ditamatkan PKPD dan PKPB ialah Mukim 12 Barat Daya dan Mukim 13, Daerah Timur Laut di Pulau Pinang; Penjara Kluang dan Kuarters Penjara Kluang; dan Arena Segitina, Taman Desa Sejahtera, Mukim Kota Tinggi di Johor.

Kata beliau, walaupun tiga lokaliti itu ditamatkan PKPD dan PKPB, tetapi masih tertakluk bawah pelaksanaan PKP 2.0 yang bermula semalam.

MGF220720_SIDANG-DEWAN-RAKYAT-28
Ismail Sabri Yaakob

Begitu juga, katanya, dua lokaliti yang dilanjutkan tempoh PKPD sehingga 29 Januari ini melibatkan Asrama Pekerja Kejora Juara, Bukit Pasir, Muar, Johor; dan Asrama Pekerja Westlife 1 dan Westlife 2 di Senai, Johor.

Kata beliau, walaupun dua lokaliti ini dilanjutkan tempoh PKPD, sedangkan berada dalam negeri yang dilaksanakan PKP, namun, SOP kedua pelaksanaan itu berbeza.

“Ada yang bertanya, kenapa perlu disambung PKPD, sedangkan Johor telah dilaksanakan PKP 2.0. Sebenarnya, SOPnya ada perbezaan. Bawah PKPD, tidak boleh ada pergerakan, manakala bawah PKP masih ada pergerakan.

“Maksud saya, bawah PKP, pergerakan masih dibenarkan dua orang dari satu rumah untuk keluar membeli barangan keperluan tetapi bawah PKPD, mereka tidak boleh keluar rumah, bekalan akan dihantar oleh petugas kita,” katanya. – MalaysiaGazette

 

Tiada ulasan: