PUTRAJAYA – Bekas Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Lokman Noor Adam gagal dalam usaha terakhirnya untuk mengetepikan kebenaran diperoleh Peguam Negara bagi memulakan prosiding komital terhadapnya.
Ini berikutan rayuannya ditolak Mahkamah Persekutuan hari ini.
Peguam Negara mendapat kebenaran memulakan prosiding komital terhadap Lokman atas dakwaan mengugut seorang saksi dalam perbicaraan kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata notis tunjuk sebab tidak perlu dikeluarkan oleh mahkamah tetapi oleh mana-mana pihak yang memohon mahkamah untuk proses penghinaan.
Kenyataan dan afidavit sokongan oleh responden mencukupi untuk memaklumkan Lokman mengenai dakwaan penghinaan yang perlu dijawab, katanya.
Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Abdul Rahman Sebli, Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim mendengar rayuan Lokman melalui aplikasi Zoom.
Berikutan keputusan hari ini, Lokman perlu menjawab pertuduhan menghina mahkamah di Mahkamah Tinggi.
Kesnya ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 27 Jan ini.
Bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi pada 2019 untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman bagi perbuatan menghina mahkamah yang dilakukan dua kali pada 25 Sept tahun yang sama.
Thomas memulakan prosiding komital terhadap Lokman Noor dengan memohon supaya responden dipenjara atau didenda atas perbuatannya.
Prosiding komital terhadap Lokman itu atas dakwaan beliau mengugut saksi kes berkaitan 1MDB, iaitu bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin.
Menurut Thomas, pada 25 Sept 2019, Lokman Noor dalam temu bual video telah mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau membawa maksud untuk mengugut Amhari Efendi kerana memberi keterangan dalam perbicaraan kes Najib di Mahkamah Tinggi.
Beliau berkata pada hari yang sama, Lokman Noor telah membuat laporan polis terhadap Amhari Efendi, yang merupakan saksi kelapan pihak pendakwaan, berhubung keterangan yang diberikannya pada perbicaraan kes Najib.
Menurut Thomas, objektif atau tujuan tindakan responden adalah untuk mengganggu dan mengugut Amhari Efendi, saksi-saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi yang mungkin tampil untuk memberi keterangan terhadap Najib pada perbicaraan itu.
Pada 14 Jan 2020, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan perintah ex-parte peguam negara untuk kebenaran bagi memulakan prosiding berkenaan.
Lokman juga gagal dalam rayuan di Mahkamah Rayuan yang menolaknya pada Mei tahun lepas.
Dalam prosiding hari ini, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Lokman berhujah bahawa terdapat kekurangan dalam notis tunjuk sebab yang dikeluarkan terhadap anak guamnya.
Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram pula berhujah
bahawa tuduhan yang dihadapi Lokman adalah menggangu saksi dan campur
tangan pentadbiran keadilan yang merupakan penghinaan serius terhadap
mahkamah.— BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan