Khamis, 14 Januari 2021

Peniaga dikompaun jual minuman keras, rokok seludup dalam van

arak-pkp
Tin-tin minuman keras yang dirampas dari peniaga dalam van mengingkar PKP semalam oleh polis IPD PJ.Foto Ihsan IPD PJ.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang peniaga yang menjual minuman keras dan rokok seludup menggunakan van melebihi waktu yang ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menerima padah.

Individu berusia 37 tahun itu turut ditahan bersama seorang wanita warga tempatan berusia 39 tahun semasa berniaga menggunakan van di tapak parkir SS8, Kawasan Perindustrian Bebas Sungai Way, Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kedua-kedua mereka ditahan pukul 9.10 malam oleh pasukan polis pada hari pertama pelaksanaan PKP semalam.

“Siasatan mendapati kedua-dua mereka menjalankan perniagaan barangan runcit menggunakan sebuah van melebihi masa yang telah ditetapkan iaitu 6 pagi hingga 8 malam.

“Pemeriksaan lanjut polis dalam van menemui sebanyak 91 tin minuman keras pelbagai jenama dan 26 kotak rokok dipercayai barang seludup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kedua-dua suspek dikenakan tindakan kompaun RM1,000 kerana melanggar PKP dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

rokok-seludup
Rokok seludup yang ditemui dalam van peniaga di parkir kereta 
melanggar PKP semalam.Ihsan IPD PJ

Dalam satu lagi perkembangan lain, polis turut menahan seorang lelaki warga asing berusia 56 tahun di jalan PJU 10/1A Damansara Damai kira-kira pukul 9 malam pada hari yang sama.

“Individu tersebut merupakan penjaga kedai runcit dan serbuan mendapati penjaga premis tersebut gagal menyediakan pemeriksaan suhu, cecair pembasmian kuman serta buku catitan rekod pelanggan atau bar code scanner (kod imbasan) di dalam premis tersebut,” katanya.

Suspek ditahan bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan (perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa) dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: