Ahad, 10 Januari 2021

Penyelenggara elektrik rempuh tembok besi pembahagi lebuh raya

Oleh NOR AINNA HAMZAH 
 
  MAYAT mangsa yang tercampak di dalam longkang selepas melanggar tembok besi tengah 
pembahagi lebuh raya dalam kemalangan di Kilometer 265.4 Lebuhraya Utara-Selatan 
(arah selatan) Seremban, tengah malam tadi.

SEREMBAN: Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 265.4 Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) dekat sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu, mangsa, Muhammad Syafie Yusof, 27, beralamat di Mambau disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim, mangsa yang bekerja sebagai penyelenggara elektrik Hospital Port Dickson dalam perjalanan dari arah Nilai menuju ke Seremban.

“Berdasarkan siasatan awal, sebaik tiba di lokasi kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Kawasaki KR150 telah hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan dan melanggar tembok besi tengah pembahagi lebuh raya.

“Akibat pelanggaran berkenaan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dada serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi dekat sini, hari ini.

Mohd. Said berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan. – UTUSAN

Tiada ulasan: