Ahad, 10 Januari 2021

NGO, badan amal jangan terus ‘terjah’ ke lokasi banjir

Oleh YATIMIN ABDULLAH
MOHAMMAD Hamdan Wahid (kiri) beramah mesra dengan anggota SMART 
yang terlibat dalam operasi banjir di Rantau Panjang hari init
-UTUSAN/ YATIMIN ABDULLAH

RANTAU PANJANG: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan amal yang ingin memberi bantuan kepada mangsa banjir diminta tidak terus ke lokasi bencana tanpa berhubung dengan pihak berkuasa terlebih dahulu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, badan-badan tersebut sebaliknya perlu berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) sebelum turun ke lokasi bencana.

Kata beliau, koordinasi dengan pihak berkuasa perlu dilakukan bagi mendapatkan maklumat tepat berhubung situasi semasa banjir di sesebuah kawasan sekali gus mengelak berdepan risiko kejadian tidak diingini.

“Kita akui walaupun banjir sudah reda, namun masih ada kawasan yang terputus hubungan dan aliran airnya masih lagi deras. Sebab itulah kita minta pihak NGO bersabar dan tunggu keadaan tenang sebelum turun memberi bantuan.

“Kita amat bimbang terutama jika NGO ini datang dari luar kerana mereka tidak mengetahui keadaan topografi kawasan yang ingin disantuni itu, sekali gus mendedahkan kepada banyak risiko,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau meninjau keadaan banjir selain diberikan taklimat berhubung situasi semasa perkembangan bencana itu di negeri ini di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan, Datuk Nor Hisham Mohamad serta Pengarah Bahagian Udara JBPM, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Nazili Mahmood.

Mengulas lanjut, Mohammad Hamdan berkata, beliau menghargai usaha NGO dan badan amal yang sentiasa prihatin terhadap nasib mangsa banjir dan pihak JBPM bersedia bekerjasama bagi memastikan proses penyampaian bantuan berjalan lancar.

“Ini sekali gus membolehkan semua mangsa terlibat menikmati bantuan tersebut tanpa ada mana-mana pihak yang tercicir,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: