Menyedari keperluan utama untuk mangsa banjir bukan semata-mata bekalan air bersih, Sharifah Shahirah menggerakkan inisiatif untuk mengumpulkan dana bagi membeli pakaian dalam buat mangsa banjir di Ulu Dong, Raub di Pahang.
Biarpun keperluan itu mungkin dianggap remeh oleh segelintir pihak, penyampai radio dan pengacara itu sedar pakaian dalam - termasuk untuk lelaki - sangat diperlukan terutama agar aspek penjagaan kebersihan diri terpelihara.
“Sudah tiga hari cahaya matahari tak terik, macam mana penduduk kampung nak basuh dan jemur pakaian sedia ada? Ditambah pula dengan ketiadaan bekalan air bersih.
“Justeru, saya fikir ada baiknya tolong beli pakaian dalam untuk kanak-kanak, wanita dan lelaki terdiri daripada jenis pakai buang atau yang boleh dibasuh untuk kegunaan semula.
“Kita pun tak tahu macam mana keadaan petempatan mereka, atau macam mana keadaan tandas di situ.
"Sebab tu saya bantu setakat yang termampu,” katanya kepada Malaysiakini.
Pemilik nama penuh Sharifah Shahirah Syed Abu Bakar Al-Khaired itu juga amat menggalakkan jika ada orang ramai yang mahu berkongsi sumbangan untuk menyediakan pakaian bersih atau peralatan tidur seperti tilam serta bantal.
Tenaga yang ada tak cukup
Inisiatif Sharifah Shahirah, 46, bermula selepas dia sendiri berdepan pengalaman terkandas akibat banjir ketika bercuti bersama beberapa anggota keluarganya di tanah persendirian di Ulu Dong.
Katanya, dia dimaklumkan penduduk kampung bahawa memang kawasan itu pernah dinaiki air namun tidak pernah seteruk sekarang.
“Saya tak pernah balik kebun ketika musim tengkujuh. Biasanya cuma balik musim durian saja, tapi sekarang baru tahu situasi sebenar.
“Air naik pada hari pertama menyebabkan liputan telefon terputus sampai 26 jam tak dapat berhubung dengan dunia luar.
"Saya punya runsing sampai tak boleh tidur sebab asyik suluh sungai untuk tengok paras air,” katanya.
Sharifah Shahirah yang kini sudah berada di Kuala Lumpur atas urusan kerja berkata, setakat ini dia dengan kerjasama Malaysian Relief Agency (MRA) sedang memperluaskan pengedaran bantuan termasuk ke Mentakab dan Jerantut yang turut terjejas dek banjir.
Namun, katanya, masih terdapat beberapa kekangan yang memang tidak dapat dielakkan berdasarkan situasi semasa.
“Kami amat memerlukan lebih banyak kudrat lelaki buat masa ni kerana tenaga yang ada sekarang tak cukup.
“Kami juga berbesar hati sekiranya ada pihak bermurah hati untuk membantu meminjamkan lori. Sebahagian daripada sumbangan yang kami terima sekarang digunakan untuk membayar kos lori dan pemandu," katanya.
Pada masa sama, Sharifah Shahirah berkata, walaupun usaha membekalkan bantuan dilakukan secara bidang terjun, dia tetap bersyukur kerana ramai pengikutnya di Instagram sudi menghulurkan sumbangan.
“Mula-mula hanya tiga netizen yang sumbangkan dana tapi kemudian jumlah kutipan mencecah RM25,000 selepas saya berkongsi perkembangan usaha yang dilakukan di Instagram,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan