MALAYAIAKINI
Selepas mengakui tidak ambil peduli pandangan umum berhubung busana kontroversi dipakainya beberapa hari lalu, Natasha Hudson tiba-tiba nampak berubah fikiran.
Ia berlaku selepas pereka jenama pakaian tersebut, Rizman Ruzaini, memberi kenyataan yang disifatkan pelakon itu bersifat peribadi dan berat sebelah.
“Selepas diamati kenyataan pereka fesyen itu saya lihat ia berbaur peribadi dan berat sebelah. Mungkin kenyataan itu dibuatnya kerana tidak tahu siapa pembeli busana terbabit pada awalnya.
“Mungkin juga kenyataan itu dibuat kerana saya bukanlah artis gred A yang sering bekerjasama dengannya. Tapi dalam apa sudut sekalipun, perasaan pelanggan atau pembeli sepatutnya dihormati.
“Baju itu dibeli dengan promosi potongan harga dan bukan ditaja mereka.
“Sekalipun pembeli dan pelanggan mengenakan tudung dan meminati sesebuah rekaan yang bertentangan dengan imejnya, adakah mereka akan menjualnya?
"Saya pasti mereka akan menjualnya demi keuntungan tanpa mempersoalkan hasrat pihak yang ingin membeli,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 5 Jan lalu, nama pelakon Chermin itu panas gara-gara muncul dalam majlis pelancaran produk dengan memakai baju seolah-olah mendedahkan bahagian kulit bahu serta kain yang mempunyai belahan pada bahagian betis.
Bukan tak pernah kenal
Namun, Natasha, 38, berkata, ia bukanlah seperti yang didakwa netizen. Katanya, bahagian bahu busana berkenaan sebenarnya mempunyai lapik kain berwarna kulit (nude).
Rizman Ruzaini pula berkata, mereka "kecewa" selepas mengetahui busana berkenaan dipakai oleh seorang selebriti bertudung dan hal itu menjejaskan imej mereka sebagai pereka fesyen terkenal.
Kata Rizman Ruzaini, penatarias majlis tersebut sepatutnya lebih teliti dan peka imej wanita bertudung serta sensitiviti masyarakat setempat.
Rakan kongsi yang juga orang kuat produk terbabit, Nor Shahlina Abu, juga melontarkan pandangannya dengan berkata, Rizman Ruzaini tidak wajar melatah dengan siapa pun pemakai rekaan mereka.
Natasha yang dilantik sebagai wajah wakilan produk itu berkata, dia agak terkejut dengan reaksi Rizman Ruzaini kerana kedua-dua pereka tersebut bukan tidak pernah mengenalinya.
“Saya pernah menggayakan rekaan mereka suatu ketika dulu. Bukan mereka tidak boleh bertanya situasi sebenar atau selidik sebelum mengeluarkan kenyataan balas yang disifatkan seperti menghentam.
“Saya berasakan komen mereka yang busana itu tidak sesuai untuk orang berhijab tak tepat. Sedangkan kalau kita 'google' (buat carian) busana rekaan mereka sebelum ini untuk selebriti bertudung kelas A ada yang mengenakan turban dan menampakkan leher ataupun menampakkan potongan badan.
“Apa pula pendirian mereka terhadap situasi sebegitu. Tepuk dada tanya hati,” katanya.
Ibu tunggal kepada tiga anak itu bagaimanapun mengakui khilafnya saat mengenakan busana berkenaan.
"Ikutkan busana yang saya sarung itu boleh saja digayakan sesiapa pun mengikut cita rasa dan olahan gaya masing masing. Ya, saya ambil mudah melalui cara pemakaiannya.
"Jujur saya tak sangka ia akan mencetuskan kontroversi. Malah harus saya tegaskan ia juga bukan kontroversi terancang untuk melariskan produk,” katanya yang berpandangan pereka fesyen berkenaan harus memohon maaf.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan