Jika pembalakan berterusan seperti sekarang, dijangka banjir tak terkawal melanda setiap tahun
KUALA LUMPUR – Aktiviti penggondolan hutan yang semakin berleluasa menjadi punca banjir teruk sehingga lumpur, kini melanda Pantai Timur Semenanjung sejak seminggu lalu.
Sekiranya aktiviti ‘pembersihan hutan’ ini dibiar berterusan, tanpa sistem tadahan air sebagai ‘pelampung’, maka penduduk kawasan ‘rentan’ di negeri Pantai Timur Semenanjung, khususnya Pahang berdepan risiko banjr setiap tahun.
Pakar Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Tanah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Nor Shahidah Mohd Nazer berkata, jika pembersihan hutan khususnya pembalakan dilakukan secara terancang dan terkawal, sudah tentu banjir yang melanda tidak akan seteruk sekarang.
“Negeri di Pantai Timur khususnya Pahang dan Terengganu, kini menunjukkan ciri ketidakstabilan aspek geologi, di mana geomorfologi perbukitan dan berlembah di dua negeri ini, menyebabkan bencana alam boleh berlaku secara tidak terkawal.
“Penerokaan hutan di Pahang khususnya, semakin tidak terkawal. Sudah tiba masanya kerajaan melakukan sesuatu, termasuk membina sistem saliran alternatif di kawasan tanah tinggi (hulu) bagi menyalurkan air (terutama di kawasan aktif gondol) ke kawasan landai (hilir) secara sistematik terutama ketika hujan lebat berintensiti tinggi atau berdurasi lama.
“Jika pembalakan berterusan seperti sekarang, kita jangka banjir tidak terkawal akan melanda setiap tahun dan bukannya lima atau 10 tahun sekali seperti berlaku sebelum ini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Jelasnya, banjir masih berpotensi berlaku disebabkan pelbagai faktor semula jadi lain, namun tidak seteruk seperti sekarang yang disebabkan aktiviti pembalakan secara berleluasa.
“Ia mengambil kira juga aspek pemodenan yang kita tidak boleh elak seperti pembangunan infrastruktur atau pembinaan jalan raya yang menyumbang kepada keadaan ini tetapi aktiviti pembalakan ibarat menyimbah petrol kepada api yang marak,” katanya.
Justeru, beliau mencadangkan pembinaan sistem tadahan air seperti empangan atau sistem terowong pintar di ibu kota.
Secara saintifiknya, katanya, banjir yang melanda disebabkan penggondolan berleluasa kerana apabila ia berlaku, tiada pokok berfungsi sebagai perintang (barrier) sebelum air hujan sampai ke permukaan tanah.
“Ia sekali gus menyebabkan air hujan bukan sahaja cepat sampai ke permukaan bumi, namun kadar resapan jauh lebih perlahan kerana sebahagian besarnya menjadi air permukaan yang bertenaga tinggi,” katanya.
Tambahnya, air permukaan berkenaan kemudian bertindak menghakis butiran tanah yang kini berstuktur longgar dan lemah.
Malah katanya, keadaan air banjir berwarna keruh menjadi indikator ia disebabkan penggondolan ekstrem, dibuktikan kehadiran partikel tanah bersaiz halus seperti lodak dan lempung (tanah liat) yang lebih mudah terhakis dan terampai di dalam air.
“Sebab itu apabila berlaku hujan dengan kadar resapan lebih perlahan daripada sepatutnya, memang akan ada banjir kerana tanah sudah tepu air disebabkan banyak faktor di mana penyumbang terbesar ialah kekurangan pokok di permukaan yang menjadi rintangan air.
“Saya sendiri terkejut melihat paparan imej Google Satellite yang viral baru-baru ini, ia adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata, selain penggondolan tanah tidak terkawal, faktor lain turut menyebabkan banjir, termasuk jenis tanah berperanan mengawal sifat kekonduksian hidraulik tanah iaitu parameter yang menentu ukur tahap kesenangan pengaliran air di antara liang tanah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan