Ahad, 17 Januari 2021

Mayat jaket merah ditemui terapung

Radhi Muslim
Mayat jaket merah ditemui terapung
Proses pengecaman belum dilakukan dan siasatan masih dijalankan sama 
ada berkaitan dengan dua kes bot karam sebelum ini. - Astro AWANI
 
SANDAKAN : Mayat memakai jaket warna merah ditemui terapung di perairan Tambisan, Lahad Datu, pada Sabtu.
 
Mayat berseluar pendek itu kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim Sandakan kira-kira jam 11.30 pagi.
 
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, mayat berkenaan ditemui terapung penduduk setempat.
 
Menurutnya, kejadian itu kemudiannya dilaporkan kepada agensi penyelamat lalu Kapal Peronda Maritim (KM) Serasan dihantar ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan.
 
“Sebaik tiba, satu mayat lelaki ditemui lalu dibawa ke Jeti Maritim Sandakan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
 
“Namun demikian, proses pengecaman belum dilakukan dan siasatan masih dijalankan sama ada berkaitan dengan dua kes bot karam sebelum ini,” katanya.
 
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media, pada Sabtu.
 
Terdahulu, pada Rabu, sebuah bot tunda dinaiki lima lelaki karam dipukul ombak menyebabkan tiga kru masih hilang manakala dua lagi berjaya diselamatkan.
 
BACA: Bot tunda karam di Kinabatangan, 3 hilang
 
Pada Jumaat pula, sebuah bot nelayan dinaiki empat kru karam menyebabkan dua mangsa hilang dan dua selamat.
 
BACA: Lagi bot karam di Sabah, 2 nelayan hilang
 
Justeru itu, siasatan masih diteruskan sama ada penemuan mayat mempunyai kaitan dengan dua kes terbabit.

Tiada ulasan: