Astro Awani
Semua
murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5
di
sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah
PdPR
mengikut kesesuaian guru dan murid mulai 20 Januari 2021.
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pendidikan (KPM) mengumumkan sesi persekolahan secara
bersemuka yang dijadualkan bermula 20 Januari di seluruh negara
ditangguhkan berikutan keadaan semasa jangkitan COVID-19.
Menurut
satu kenyataan hari ini, KPM memaklumkan sesi persekolahan bersemuka
hanya akan melibatkan murid yang akan menduduki peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil
Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),
Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM)
tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.
"Semua
murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di
sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah
Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru dan
murid mulai 20 Januari 2021," kata kenyataan berkenaan.
Selain
itu, kenyataan itu turut menyebut, memandangkan ada murid sudah mula
mendaftar masuk di asrama mulai 16 Januari 2021, KPM telah membuat dua
ketetapan masing-masing membabitkan sekolah berasrama penuh dan asrama
sekolah harian seperti berikut:
Sekolah Berasrama Penuh
*Murid Tingkatan 4 dan Tingkatan 5:
• boleh kekal di asrama dan mengikuti PdP secara dalam talian di sekolah; atau
•
boleh pulang ke rumah dan mengikuti PdPR. Ibu bapa atau penjaga
dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa
yang sesuai dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
*Murid Tingkatan 5 (2020) dan Tingkatan 6:
• mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah sehingga selesai peperiksaan.
Asrama Sekolah Harian
*Murid Tingkatan 1, Tingkatan 4 dan Tingkatan 5:
• boleh kekal di asrama dan mengikuti PdP secara dalam talian di sekolah; atau
•
boleh pulang ke rumah dan mengikuti PdPR. Ibu bapa atau penjaga
dibenarkan mengambil anak atau anak jagaan pulang pada bila-bila masa
yang sesuai dengan mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
*Murid Tingkatan 5 (2020) dan Tingkatan 6:
• mengikuti PdP secara bersemuka di sekolah sehingga selesai peperiksaan.
Selain itu, kenyataan itu juga menyebut, keperluan makan dan minum murid di asrama akan disediakan oleh pihak sekolah.
Bagi
tujuan pengoperasian sekolah pula, kenyataan itu menyebut, semua guru
hendaklah kembali ke stesen tempat bertugas masing-masing sebelum 20
Januari 2021.
"Guru yang terlibat dengan
kelas peperiksaan SPM/SVM/SKM/STPM/STAM/DVM tahun 2020 perlu hadir ke
sekolah untuk tujuan PdP secara bersemuka. Guru yang lain akan
melaksanakan PdPR dan kehadiran ke sekolah adalah berdasarkan keperluan
yang ditetapkan oleh ketua jabatan," kata kenyataan itu.
Kata
kenyataan itu lagi, bagi pelajar Kolej Matrikulasi, mereka perlu kekal
di kolej masing-masing untuk terus mengikuti pembelajaran secara hibrid.
Sementara itu, semua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) yang telah berada di asrama perlu kekal berada di asrama kampus.
"Pelajar
yang masih belum mendaftar di asrama boleh memilih untuk masuk ke
asrama atau kekal berada di rumah masing-masing. PdP untuk semua pelajar
IPG akan dilaksanakan secara dalam talian mulai 17 Januari 2021.
"Perincian berkaitan pelaksanaan praktikum dan internship IPG akan dimaklumkan kelak," katanya.
Pada
masa yang sama, keyataan itu menyebut, semua tadika swasta yang
berdaftar dengan KPM boleh terus beroperasi secara bersemuka.
"KPM
menyarankan agar semua ketetapan ini turut diikuti oleh sekolah-sekolah
yang tidak berdaftar dengan KPM, termasuk sekolah di bawah kerajaan
negeri.
"KPM sentiasa komited membantu usaha kerajaan dalam melandaikan keluk penularan wabak COVID-19," katanya.
Pada
12 Januari lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin,
berkata semua murid Tingkatan 1, 4 dan 6 serta murid Tahun 1 hingga 6
selain IPG di negeri dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
(PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan ke
sekolah bermula 20 Januari.
Menurutnya, bagaimanapun murid-murid Tingkatan 2 dan 3 di negeri terbabit hanya dibenarkan ke sekolah pada 8 Mac depan.
"Untuk negeri-negeri PKPB, sekolah rendah dibuka dan proses PdP dijalankan secara bersemuka," katanya ketika itu.
Sementara
itu, hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham
Abdullah, berkata Malaysia merekodkan kes COVID-19 harian paling tinggi
apabila sejumlah 4,029 kes positif dilaporkan dalam tempoh 24 jam lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan