Khamis, 14 Januari 2021

Jambatan tenggelam, 70 keluarga terperangkap

Penduduk memaklumkan fenomena air naik kerap berlaku tetapi kali ini paling teruk. 
(Gambar Bernama)

LAHAD DATU: Kira-kira 70 keluarga di Kampung Sepadulang terputus hubungan selepas jambatan kayu digunakan penduduk kampung itu ditenggelami air Sungai Segama yang melimpah akibat hujan lebat sejak Isnin lalu.

Pegawai Pembangunan Masyarakat Segama Mizma Appehdullah berkata, jambatan sepanjang 20km itu tidak boleh dilalui kenderaan untuk ke jalan utama selain strukturnya tidak kukuh membimbangkan penduduk kampung.

“Fenomena air naik ini kerap berlaku tetapi ini merupakan paling teruk dan ketika ini pada tahap berjaga-jaga,” katanya ketika ditemui.

Mizma berkata, limpahan air Sungai Segama itu turut menyebabkan kampung di sekitar Sungai Segama berhadapan kemungkinan banjir jika hujan masih berterusan.

“Semalam lapan keluarga membabitkan 28 orang dari Kampung Segama Batu 8 dan Kampung Ulu Segama memohon bantuan daripada Angkatan Pertahanan Awam untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara kerana khuatir banjir dan terperangkap di dalam rumah.

“Mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara dewan serba guna pusat latihan dan vokasional pertanian dan bantuan juga sudah diagihkan kepada keluarga terbabit,” katanya, menambah bantuan akan disalurkan kepada 70 keluarga terjejas di Kampung Sepadulang itu esok.

Tiada ulasan: