Khamis, 14 Januari 2021

Bung janji JKR segera baiki jalan rosak, jambatan runtuh akibat banjir di Sabah

Jambatan Sungai Paparoun di Jalan Telaga yang runtuh akibat banjir. (Gambar facebook)

KOTA KINABALU: Menteri Kerja Raya Sabah, Bung Moktar Radin, berjanji pihaknya akan segera membaiki jambatan runtuh dan jalan rosak akibat banjir di beberapa daerah di negeri itu.

Katanya, hujan lebat berterusan menyebabkan banyak jalan dan jambatan, khasnya di daerah Pitas, mengalami kerosakan atau runtuh.

“Jurutera daerah di kawasan (terbabit) telah turun padang memantau serta memberikan laporan terperinci berhubung kerosakan yang dialami,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, antara jalan di Pitas yang mengalami kerosakan itu ialah Jalan Langkon-Pitas (KM53.05), Jalan Maringgan (KM1.7), Jalan Suang Duyung-Layak-Layak (KM0.25 dan KM4.25), Jalan Sosop Bal (Kampung Rinasuk), Jalan Ulu Malubang (KM15.5), Jalan Mongkubou Laut (KM2 dan KM6.95), serta Jalan Telaga (kerosakan jambatan Sungai Paparoun yang runtuh akibat banjir).

Selain Pitas, katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR) turut menerima laporan jambatan dan tanah runtuh di daerah Kota Marudu serta Beluran.

“Bagi kes tanah runtuh di atas jalan yang tidak terlalu serius, kerja pembersihan telah dilaksanakan JKR, termasuk jalan di bawah seliaan kontraktor atau syarikat yang mendapat konsesi penyelenggaraan.

“Bagi kes jalan runtuh, termasuk jambatan yang memerlukan kos pembaikan tinggi, ianya akan dinilai bagi menentukan anggaran kos pembaikan dan dilaksanakan segera bagi memastikan sistem perhubungan penduduk tidak terjejas.”

Bung meminta semua jurutera JKR daerah sentiasa bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir boleh menjejaskan jalan dan jambatan akibat hujan berterusan.

Tiada ulasan: